Hidupkan semula perkhidmatan bot penambang di Sungai Pahang - Utusan Malaysia

Hidupkan semula perkhidmatan bot penambang di Sungai Pahang

PERKHIDMATAN bot penambang mewarnai kehidupan masyarakat kampung pinggir Sungai Pahang di Chenor, Maran kini tinggal sejarah. – FOTO IHSAN TENGKU HASANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Perkhidmatan bot penambang yang menjadi pe­ngangkutan tradisi penduduk di pinggir Sungai Pahang terma­suk di Kampung Pantai/Telok Melati ke pekan Chenor lama kini tinggal sejarah sejak 20 tahun lalu.

Ketika zaman gemilangnya dalam era 1960-an hingga 2004, lebih 20 bot penambang berenjin diesel memberikan perkhidmatan kepada penduduk pinggir Sungai Pahang ke Pekan, Temerloh dan beberapa lokasi pilihan penumpang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk jati Chenor lama, Tengku Hasani Tengku Ahmad, 60, berkata, pekan ini menjadi tumpuan lebih 2,000 penduduk kampung tradisional untuk beli-belah di pekan Chenor lama.

Menurutnya, dalam era itu, Chenor satu-satunya pekan yang menyediakan pelbagai keperluan harian dan kemeriahannya terasa pada setiap hari Khamis.

“Perkhidmatan bot penambang menuju jalan mati apabila sebuah jambatan Chenor bernilai RM100 juta merentasi Sungai Pahang dibina pada 2004.

“Pekan Chenor lama turut terkesan apabila orang ramai tidak lagi ghairah datang manakala perkhidmatan bot penambang turut terkubur,” katanya di sini, semalam.

BOT

Terdahulu Mingguan Malaysia melaporkan perkhidmatan pengangkutan air tradisional, bot penambang yang beroperasi di muara Sungai Terengganu sejak lebih 50 tahun lalu kini semakin suram akibat dihakis arus pemodenan walaupun memiliki nilai warisan cukup tinggi.

Bot penambang tersebut yang sangat sentimental dalam kala­ngan masyarakat setempat di Kampung Seberang Takir, Pulau Duyung dan Jeram di sini berisiko lenyap jika tiada usaha bersungguh-sungguh diambil oleh mana-mana pihak untuk menyelamatkan warisan ber­kenaan.

Mengulas lanjut, Tengku Hasani berkata, kini hanya sebuah bot penambang berenjin petrol diusahakan oleh Che Wan Ahmad Nizam Ahmad Tajuddin, 42, pewaris Rumah Warisan Chenor untuk tujuan pelancong menyusuri Sungai Pahang.

Tambah beliau, perkhidmatan bot penambang yang menjadi ikon perhubungan utama di sini perlu dihidupkan kembali dalam usaha menghidupkan semula pekan Chenor.

Seorang lagi penduduk, Hussien Jaafar, 85, bersetuju supaya agensi kerajaan atau swasta membina semula jeti bot penambang bagi memboleh­kan ia dapat beroperasi sebagai produk pelancongan.

Beliau berkata, Sungai Pahang dahulunya merupakan lebuh raya utama dan peranan bot penambang sebagai ejen penting membolehkan penduduk di kampung pinggir Sungai bertandang ke kampung lain.

“Malah masih saya ingat bot penambang ini menjadi ken­deraan penting berulang-alik ke bandar diraja Pekan terutama pada sambutan hari keputeraan Sultan Pahang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×