Hati-hati dalam tuntut keadilan kes lama – Shahrir Samad

Hati-hati dalam tuntut keadilan kes lama – Shahrir Samad

SHAHRIR SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam bertindak menuntut keadilan terhadap kes-kes lampau dan memastikan setiap siasatan yang dijalankan nampak telus dan bukannya dilihat seperti menggunakan kuasa untuk membalas dendam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14), banyak kes dilihat seperti berdasarkan dendam dan hasutan sedangkan keadaan itu tidak sewajarnya berlaku oleh sesebuah kerajaan.

BERKUASA

“Banyak kes yang dimulakan selepas PRU14, memang dilihat berasaskan kepada dendam, hasutan, fitnah. Sepatutnya, apabila kita ber­kuasa, kita harus berhati-hati dalam melaksanakan ­tanggungjawab, kita bertang­gungjawab menjalankan ke­adi­lan tetapi tidak harus terpengaruh dengan hasutan yang kita sendiri buat.

“Itu yang selalunya menjadi masalah selepas PRU14 di mana yang sudah menang merasa ada kuasa dan mahu membalas dendam berasaskan hasutan dan fitnah yang sebenarnya direka sendiri.

“Bagaimana hendak mencapai keadilan kalau kita mempunyai perasaan prejudis atau kita sendiri yang membuat fitnahi,” katanya ketika ditemui sambil mengulas si­tua­si perkembangan politik yang berlaku hari ini.

Mengambil contoh pendakwaan yang berlaku ke atas dirinya, Shahrir berkata, beliau sebelum ini dituduh gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Namun, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan beliau selepasTimbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi memaklumkan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadapnya dalam kes itu.

Mengulas lanjut, Shahrir turut berkata, kerajaan juga perlu memastikan siasatan yang dibuat bukan bersandarkan pada fitnah agar kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dapat dipertingkatkan.

“Bila kita hendak membawa sesuatu pendakwaan ke muka pengadilan, kita jangan sampai dilihat seperti menga­turkan proses itu untuk memastikan apa yang kita cakap itu bukan fitnah sedangkan orang boleh nampak bahawa akhirnya dalam perbicaraan, pihak pendakwaan tidak menepati kehendak keadilan.

“Orang boleh tahu adil atau tidak adil, berat sebelah atau tidak, bagaimana proses dan perjalanannya. Itulah yang negara kita hadapi dan akhirnya kita sendiri terpaksa melakukan pelbagai cara untuk me­nyatakan tuduhan itu benar sedangkan tidak nampak kebenarannya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN