KUANTAN: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada PKR diingatkan supaya menghormati rakan parti politik gabungan dalam kerajaan Perpaduan dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan sendiri.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil turut menasihatkan Ahli Parlimen itu supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan menjaga tepi kain parti lain.
Menurutnya, beliau kesal dengan kenyataan itu yang mendesak supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur dan parti terbabit perlu diterajui pemimpin baharu.
“Jangan jaga tepi kain parti orang lain… kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.
“Tapi jangan komen orang-orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan,” katanya dalam sidang akhbar pada program Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh di sini hari ini.
Rabu lalu, Hassan dilaporkan sebagai berkata, UMNO perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ekoran tindakan Hassan itu, ramai pihak boleh mengambil kesempatan menerusi kenyataan tersebut.
Jelasnya, dengan cara tersebut juga tidak membantu dalam menyelesaikan masalah parti.
“Perkara itu boleh dibuat tetapi perlu disampaikan kepada kepimpinan parti untuk menguruskannya.
“(Dalam) perkara ini, kita hormat parti sahabat dan sekiranya ada sebarang teguran, beliau (Hassan) boleh sampaikan kepada pemimpin (untuk) diuruskan dengan baik. Jadi, saya membuat teguran keras kepada beliau dalam bab ini,” katanya. – UTUSAN










