KUANTAN: Gerai Batu Hitam yang terletak di Pantai Batu Hitam di sini sudah beroperasi sepenuhnya bermula Januari lalu dan menjadi daya tarikan baharu di Beserah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, diinspirasikan daripada bentuk kapal seperti di Sydney, Australia, bangunan gerai baharu berkenaan bernilai RM2.5 juta.
Beliau memaklumkan, pembinaan gerai itu mengambil masa selama dua tahun yang mana ia mula dibina pada 2022 dan siap sepenuhnya serta boleh digunakan pada awal tahun ini.
“Kita mensasarkan dengan adanya gerai baru ini akan membawa lebih manfaat bukan sahaja kepada bandaraya ini tetapi juga kepada peniaga yang berniaga di sini.
“Saya dapati bahawa pengunjung yang datang di sini telah bertambah sejak adanya bangunan yang baru dibina ini.
“Mungkin dengan adanya pemandangan cantik dan tempat makan selesa, ini merupakan satu tarikan baharu ini buat pengunjung ke sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Gerai Batu Hitam di sini hari ini.
Mohammad Fakhruddin berkata, gerai baharu berkenaan memiliki pelbagai kemudahan yang lebih baik berbanding berbanding sebelum ini.
“Bila kita sudah ada bangunan yang lebih besar ini, sudah tentu kemudahan disediakan lebih baik seperti tandas awam, tempat letak kereta, bilangan kerusi dan meja, tempat yang lebih selesa memberikan kesan yang positif kepada pengunjung.
“Selain itu, antara kelebihan lain bangunan baharu ini adalah tempat penyediaan makanannya lebih luas berbanding sebelum ini memberi keselesaan kepada peniaga dan penyedia makanan,” katanya.
Menurutnya lagi, peniaga-peniaga di Gerai Batu Hitam dikenakan sewa RM250 sebulan sehingga hujung tahun ini sempena tahun pertama pembukaannya.
“Saya harap peniaga dan pengunjung mengutamakan aspek kebersihan. Agensi kerajaan juga diharap sentiasa memantau kebersihan dan fasiliti disediakan bukan sahaja di Pantai Batu Hitam tetapi juga di tempat tumpuan lain,” ujarnya. – UTUSAN










