Kerja pemasangan landasan ECRL fasa pertama siap sebulan awal - Utusan Malaysia

Kerja pemasangan landasan ECRL fasa pertama siap sebulan awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerja-kerja pemasangan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk fasa pertama dari Kuantan Port City (KPC) di sini ke Dungun, Terengganu sejauh 92 kilometer bagi jajaran utama, sudah siap sebulan lebih awal daripada dijadualkan.

Mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia, secara purata memasang landasan sepanjang 1.5 hingga dua kilometer sehari dan seterusnya menyelesaikan pemasangan landasan dari KPC ke Dungun pada akhir Februari lalu.

Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik projek ECRL dalam kenyataannya memaklumkan, perkembangan ini juga membolehkan proses pemadatan landasan dari KPC ke Dungun yang melibatkan mesin pemadat landasan dan mesin ballast regulator berjaya dilaksanakan sepenuhnya awal bulan ini.

“Justeru, kerja-kerja pemasangan landasan ECRL sudah memasuki fasa kedua sejak 9 Mac lalu melibatkan jajaran utama sepanjang 90 kilometer dari KPC ke Maran,” kata kenyataan itu di sini.

Pada malam ini, MRL mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di Hyatt Regency Kuantan Resort.

Sementara itu, MRL memaklumkan, kerja-kerja pembinaan jajaran ECRL di Pahang berjalan lancar dan sudah mencapai kemajuan 58.97 peratus setakat Februari lalu, di dokong oleh kerja-kerja terowong, pemasangan rasuk jejambat, pembinaan stesen dan pemasangan landasan.

“Jajaran ECRL sepanjang 258 kilometer di Pahang melibatkan pembinaan tujuh buah stesen, di mana stesen Cherating dan KotaSAS adalah untuk penumpang sahaja manakala stesen KPC, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong adalah stesen gabungan penumpang dan kargo,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN