KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM250,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataan fitnah yang dibuat pada 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau bagaimanapun telah berbincang dengan pasukan peguamnya dan memutuskan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan tersebut.
“Saya terima keputusan tersebut dan telah mendapat nasihat, kita akan merayu ke Mahkamah Rayuan, tetapi saya tidak salahkan hakim Mahkamah Tinggi, peguam dan tidak cakap pun kena langkah mayat saya dulu.
“Saya ikut proses undang-undang, kalau peringkat Mahkamah Persekutuan memutuskan saya bersalah, saya akan akurlah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Oktober 2020, Sanusi dilaporkan memfailkan saman fitnah ke atas beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian MPV Toyota Vellfire milik SADA itu adalah bagi kegunaannya.
Antara pemimpin berkenaan adalah Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena; bekas Adun Pengkalan Kundor, Dr. Ismail Salleh dan dua individu lain.
Sanusi menjelaskan, pembelian kenderaan terbabit dibuat Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.
Susulan daripada itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari semalam memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi selepas membenarkan saman fitnah dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Mahfuz sebagai defendan.
Mahkamah mendapati Mahfuz melakukan fitnah dan mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibuat Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikatakan adalah untuk kegunaan Menteri Besar.
Mahkamah memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi am RM200,000 dan ganti rugi tauladan RM50,000 selain defendan perlu menanggung kos guaman berjumlah RM30,000 yang semuanya perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Defendan turut diperintahkan membuat permintaan maaf secara terbuka di akhbar bahasa Melayu dan Inggeris selain turut membuat perkara sama di laman sosial Facebook milik Mahfuz mengikut yang ditetapkan Sanusi dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah turut mengekalkan injuksi dipohon Sanusi bagi menghalang Mahfuz, ejen dan penyokongnya mengulangi kenyataan fitnah berkenaan termasuk tidak mengulang siar kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.










