Felcra Berhad sedia tingkatkan pengeluaran ayam pedaging kepada 3 juta ekor

Felcra Berhad sedia tingkatkan pengeluaran ayam pedaging kepada 3 juta ekor

AHMAD Jazlan Yaakub (dua kanan) bersalam dengan bekas pemain sepak takraw yang menjayakan aksi persahabatan sempena Kejohanan Liga Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Felcra Berhad bersedia untuk meningkatkan hasil pengeluaran ayam pedaging yang diusahakan secara secara tertutup kepada 3 juta ekor sejurus kesemua reban itu siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ketika ini pengeluaran ayam yang diusahakan agensi itu sekitar 1.5 juta ekor sahaja setahun.

Menurutnya, walaupun berlaku kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan namun ia tetap berjalan dan sudah mencapai 80 peratus.

“Jika semua reban itu siap pengeluaran ayam dalam tempoh setahun dapat ditingkatkan dari lima kepada enam pusingan.

“Alhamdulillah, teknologi yang kita gunakan ini pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Liga Sepak Takraw Piala Datuk Ahmad Jazlan di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, Felcra Berhad akan terus komited membantu usaha kerajaan meningkatkan lagi keterjaminan makanan negara pada masa hadapan menerusi penternakan ayam pedaging ini.

Katanya, pada masa sama hasil terkenan itu dibuka jualan peniaga-peniaga bahan mentah tersebut pada harga ladang.

“Ini merupakan salah satu usaha untuk mencukupkan bekalan selain keseimbangan harga bahan mentah itu,” ujarnya.

Ahmad Jazlan berkata, program ini akan diperluaskan lagi ke beberapa kawasan seperti Bagan Datoh (Perak), Paloh (Gua Musang,Kelantan),  Padang Terap (Kedah) dan Kuala Lipis (Pahang).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN