BERA: Tasik Bera merekodkan penemuan empat spesies baharu ikan air tawar daripada 158 spesies direkodkan termasuk satu jenis berstatus endemik dan yang sudah pun pupus.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, spesies ikan-ikan air tawar terbabit akan didokumentasikan dalam buku Fishes of Tasik Bera.
Katanya, penerbitan buku ini merupakan usaha kolektif antara NRES dan beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaya (UM); Universiti Selangor (UNISEL); Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Terdapat pelbagai maklumat berkenaan spesies ikan air tawar di Tasik Bera seperti imej, nama saintifik, nama tempatan, status konservasi, morfologi, taburan, habitat, pengurusan serta aktiviti komuniti.
“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan, keindahan dan kepelbagaian spesies ikan air tawar di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2024 di Tapak Ramsar Sedunia 2024 di Tasik Bera di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata, NRES sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada mana-mana pihak dalam melaksanakan usaha-usaha memelihara dan memulihara ekosistem tanah lembab.
Beliau dalam pada itu berkata, kementerian tersebut sentiasa memandang serius penglibatan Orang Asli dalam ekosistem tanah lembab negara termasuk dalam memelihara dan menjaga kawasan ini.
Justeru itu katanya, kawasan ini dijadikan sebagai salah satu kawasan Markas Taktikal bagi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang mana sebanyak 134 dan 153 rondaan sudah diadakan masing-masing pada tahun 2022 dan 2023.
“Pelantikan Renjer Komuniti yang terdiri daripada tiga orang Orang Asli Semelai juga membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan penting komuniti Orang Asli di Tasik Bera.
“Saya mengharapkan agar kerjasama erat antara komuniti Orang Asli dan juga pengurusan Tapak Ramsar Tasik Bera dapat diperkukuhkan,” katanya. – UTUSAN










