Ikan buntal beracun serang lubuk percutian Eropah - Utusan Malaysia

Ikan buntal beracun serang lubuk percutian Eropah

IKAN buntal beracun berkeliaran dekat pantai Greece. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Golongan pelancong kini diberi amaran berhubung ancaman spesies ikan buntal beracun dengan gigi sepejal pisau cukur yang dilaporkan mula menceroboh kawasan tumpuan percutian warga Britain di Laut Mediterranean.

Spesies ikan buntal pipi perak itu dikesan membiak secara meluas di serata Greece, sekali gus memaksa pihak berkuasa yang panik bergegas membina penghadang laut berskala besar bagi melindungi keselamatan para perenang.

Memiliki gigi seumpama taring yang mampu mengunyah tulang, kayu, malah logam, Persatuan Bulan Sabit Merah Greece mengeluarkan amaran kecemasan berhubung ancaman spesis invasif yang agresif ini.

Selain gigitannya yang digambarkan amat ngeri, bahagian daging dan organ dalaman ikan buntal ini turut mengandungi racun maut jenis tetrodotoxin. 

Neurotoksin ini boleh mengakibatkan kegagalan fungsi jantung dan paru-paru jika termakan.

Habitat asalnya terletak di Lautan Hindi. Spesis ini dikesan menceroboh Laut Mediterranean selepas dipercayai berenang melalui Terusan Suez dari Laut Merah berikutan fenomena peningkatan suhu air laut.

Nelayan di Cyprus menjadi kumpulan terawal menyedari ancaman berkenaan apabila hasil tangkapan dan pukat mereka dilaporkan hancur dikerjakan hidupan itu di dasar laut.

Biarpun kehadiran ikan tersebut di Mediterranean dikesan seawal tahun 2003, populasinya melonjak mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya di destinasi percutian popular seperti Rhodes. Malah, ikan itu kini sudah mula merebak jauh ke barat hingga ke Itali dan Sepanyol. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN