Perikanan darat jana hasil lebih RM200 juta setahun - Utusan Malaysia

Perikanan darat jana hasil lebih RM200 juta setahun

ADNAN Hussain (depan, tiga dari kanan) melepaskan benih ikan asli ke habitat semula jadi pada Program Pelepasan Ikan Asli di Santuari Ikan Asli Kuala Sat di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sektor perikanan darat terus memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara apabila merekodkan hasil pendaratan sebanyak 9,912.19 tan metrik bernilai lebih RM200 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, sungai menjadi penyumbang utama dengan pendaratan sebanyak 8,276.73 tan metrik bernilai RM185 juta, diikuti tasik (608.74 tan metrik, RM7.8 juta) dan empangan (571.30 tan metrik, RM5.5 juta).

“Bekas lombong pula merekodkan pendaratan sebanyak 453.49 tan metrik bernilai RM2.1 juta, manakala sumber perairan lain mencatatkan 1.93 tan metrik dengan nilai RM23.8 juta,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelepasan Ikan Asli di Santuari Ikan Asli Kuala Sat di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 32,000 ekor benih ikan tempatan dilepaskan terdiri daripada ikan kelah dan lampam sungai ke habitat semula jadi.

Sementara itu, Adnan berkata, dalam tempoh enam bulan sehingga Jun lalu, Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan pelepasan sebanyak 2.7 juta benih ikan asli di seluruh negara, termasuk 941,510 ekor di Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha pemuliharaan perikanan darat bukan hanya memberi tumpuan kepada perlindungan spesies ikan asli, malah turut memastikan sumber berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat melalui pembangunan ekopelancongan, peningkatan produktiviti dan pengukuhan ekonomi komuniti.

“Pelepasan benih ikan kelah dan lampam sungai ini merupakan komitmen Jabatan Perikanan dalam memulihkan populasi ikan tempatan serta memelihara khazanah biodiversiti negara.

“Saya menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan spesies ikan asing ke sungai, tasik atau mana-mana perairan umum kerana perbuatan itu boleh mengancam spesies ikan asli dan mengganggu keseimbangan ekosistem,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN