PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada Jumaat lalu hanya disebabkan penggubalannya melangkaui bidang kuasa diberikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kepada kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk di bawah kuasa diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Jabatan Perdana Menteri menjelaskan perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam masih menjadi suatu kesalahan di bawah hukum syarak.
“Kesalahan yang sama masih boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang yang berkaitan seperti liwat di bawah Kanun Keseksaan dan perbahasaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan.
“Keputusan ini juga dari satu segi boleh disifatkan sebagai pengukuhan terhadap perundangan Islam di Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam mahkamah syariah adalah selari dengan Kanun Keseksaan di mahkamah sivil, dan indikasinya menunjukkan bahawa telah wujud pengharmonian antara bidang kuasa sivil dan syariah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah atas alasan DUN tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan tersebut kesalahan sama meliputi dalam undang-undang Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen berkenaan.
Dalam pada itu, JKSM turut menepis dakwaan bahawa kesalahan berkhalwat dan minum arak tidak termasuk dalam kategori kesalahan yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah dan terbatal.
Menurut JKSM, bagi kesalahan sumbang mahram, apabila mahkamah mengisytiharkan ia tidak sah dan terbatal, tidak bermakna kesalahan tersebut dibolehkan bagi orang Islam di Kelantan, sebaliknya ia tidak sah kerana undang-undang terbabit telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan yang merupakan undang-undang Persekutuan.
“Jika orang Islam di Kelantan melakukan kesalahan sumbang mahram, ia boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil. Malah, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan juga lebih tinggi, berbanding dengan hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” katanya.
JKSM turut menjelaskan bahawa keputusan mahkamah dalam kes Nik Elin Zurina hanya melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri yang boleh menggubal undang-undang bagi kesalahan berkenaan dan tidak bermakna orang Islam di Kelantan tidak boleh dikenakan hukuman kerana melakukan kesalahan terbabit.
“la hanya tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah, namun boleh dibicarakan di mahkamah sivil. Secara tidak langsung, dengan adanya peruntukan di bawah Kanun Keseksaan juga, kesalahan itu boleh dipertuduhkan kepada tertuduh dalam kalangan orang Islam dan orang bukan Islam.
“Contohnya, kesalahan muncikari apabila Orang Kena Tuduh (OKT) orang Islam bekerjasama dengan OKT bukan Islam, kedua-duanya boleh dibicarakan di mahkamah sivil. Berbanding jika kesalahan dibicarakan di mahkamah syariah, hanya orang Islam yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya.










