Dua individu ditahan bersama lapan tong drum berisi minyak diesel di Gambang - Utusan Malaysia

Dua individu ditahan bersama lapan tong drum berisi minyak diesel di Gambang

ANGGOTA penguatkuasa KPDN menyita dua lori membawa muatan lapan tong drum berisi minyak diesel di sebuah stesen minyak di Gambang di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN KPDN PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua pemandu lori ditahan bersama lapan tong berisi minyak diesel lebih 1,200 liter di sebuah stesen minyak di Gambang di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam serbuan Ops Tiris itu, kedua-dua individu terbabit turut ditahan berikutan gagal mengemukakan permit kebenaran seperti diminta.

“Susulan pemeriksaan tersebut, pihak penguatkuasa KPDN Pahang menyita lapan tong drum mengandungi minyak diesel sebanyak 1,231 liter.

“Turut disita dua buah lori, masing-masing satu dan tiga tan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut minyak diesel tersebut. Nilai keseluruhan sitaan minyak diesel dan kenderaan RM47,867.81,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jezlily berkata, ketika operasi, pihak penguatkuasa menemukan kedua-dua individu terbabit dipercayai sedang mengisi minyak ke dalam beberapa tong drum yang berada di atas lori dalam keadaan mencurigakan.

“Susulan penahanan tersebut, tiga kertas siasatan dibuka iaitu kepada dua individu itu dan juga stesen minyak terbabit kerana menjual kepada mereka yang tidak memiliki permit kebenaran sah.

“Kes di siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Individu yang ditahan sudah dilepaskan dengan jaminan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mana-mana individu yang melakukan kegiatan terbabit boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. KPDN Pahang mengalu-alukan agar para pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

“Pelbagai medium penyaluran aduan disediakan bagi memudahkan pengguna antaranya, Portal [email protected] atau email kepada [email protected], membuat panggilan bebas tol kepada 1800 886 800, menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU, atau menghubungi pejabat cawangan KPDN Pahang berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×