KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan daerah Klang menjadi sebuah yang bersih daripada kegiatan jenayah supaya stigma dan persepsi negatif terhadap bandar itu termasuk disamakan dengan Colombia dapat dibuang.
Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Klang bukanlah daerah di Selangor yang mempunyai kadar indeks jenayah tertinggi sehingga wajar disama dengan bandar atau negara yang terkenal dengan pelbagai kejadian jenayah.
Di Selangor, Gombak kekal berada di tangga teratas dengan kadar jenayah yang tinggi diikuti Kajang dan Petaling Jaya manakala Klang yang dipecahkan kepada Klang Selatan dan Klang Utara dilaporkan mempunyai perbezaan kadar indeks jenayah yang ketara.
“Kalau kita bandingkan kes di tempat lain, Gombak, Kajang, Petaling Jaya lagi tinggi. Untuk tahun ini…betul, (kedudukannya) Gombak, Petaling Jaya dan Klang Selatan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan tinjauan di Pasar Pagi Pandamaran, semalam.
Razarudin berkata, petikan yang diucapkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain baru-baru ini adalah dipetik daripada laporan portal berita lain.
Menurutnya, JSJ kini bersama pelbagai agensi lain sedang melaksanakan pembasmian pelbagai jenayah seperti dadah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), barang terlarang dan sebagainya yang berlaku di kawasan Klang sejak 15 Januari lalu.
“Saya beri (maklumat) secara am, saya sudah berbincang dengan Mohd. Shuahaily, operasi sama juga akan dibuat di tempat-tempat lain yang perlu, untuk kita turunkan kadar jenayah. Yang mustahak, kita hendak menghilangkan persepsi dan anggapan orang terhadap Klang sebagai Colombia.
“Saya datang awal pagi tadi tak ada pun (seperti Colombia), bersih, tak ada isu. Ia disebut oleh Shuhaily kerana dia petik daripada portal lain.
“Beliau tidak mengatakan Klang seperti Colombia. Cuma hendak bersihkan bandar ini supaya stigma dan persepsi seperti yang tular dalam media sosial hilang, ia bukan Colombia. Ia tetap bandar Klang, bandar diraja,” katanya. – UTUSAN








