ARAU: UMNO bakal merasakan bebanan sebagaimana yang pernah dilalui Pas selepas menjalinkan kerjasama dengan DAP sebelum ini berikutan tindak tanduk pemimpinnya yang sering kali mengeluarkan kenyataan mengundang ketidakselesaan umat Islam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sudah ada pengalaman dengan DAP melalui kerjasama di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini dan sudah ‘masak’ dengan sikap parti itu.
Katanya, UMNO akan melalui pengalaman sama dan ia sudah mula dirasakan berikutan beberapa kenyataan pemimpin DAP yang secara tidak langsung turut memberi kesan kepada parti itu.
“Kita sudah ada pengalaman dengan DAP dan mereka bukanlah rakan kerjasama yang baik untuk ke arah kebaikan dan kita tolak terus sebarang kerjasama dengan DAP ini.
“Apabila kita (Pas) tolak, UMNO pula pergi ambil (bekerjasama) dan rasa sendirilah. Dasar DAP dan UMNO juga sudah terang-terang tidak sama,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Kampung Baru Cina di Selangor mendapat status Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang turut mendapat tentangan daripada UMNO.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Bagaimanapun, Koo Ham memohon maaf atas cadangannya itu dan langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam.
Terdahulu daripada itu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai mencadangkan supaya kerajaan memulakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di ibu negara terlebih dahulu, Hashim berkata, pilihan raya PBT tidak sepatutnya dilaksanakan.
Manakala, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang pula pernah menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri dan setakat ini, telah diambil keterangan oleh polis.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, UMNO dinasihatkan kembali ke pangkal jalan dengan menolak DAP dan kembali semula bersama menghidupkan perpaduan ummah bersama Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apa yang menghairankan UMNO boleh tolak Bersatu dan boleh pula menerima DAP. Sekarang rasakanlah bagaimana.
“Pemimpin DAP juga dilihat banyak mengeluarkan kenyataan yang dianggap mempunyai unsur 3R iaitu raja (royalty), agama (religion) dan kaum (race) namun tidak pernah dikenakan tindakan,” katanya.










