PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru umat Islam bertenang dan berlapang dada dalam menerima sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kes petisyen dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan negeri Kelantan, esok.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, apa jua keputusan tidak akan melemahkan institusi mahkamah syariah, sebaliknya memberikan satu titik kepastian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal sesuatu undang-undang berkaitan agama Islam.
Menurutnya, keputusan itu juga dapat memastikan mahkamah syariah berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan sekali gus mengelakkan sebarang keputusan mahkamah syariah dicabar pada masa hadapan.
“Yadim percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Para hakim yang menganggotai panel hakim kes ini juga telah berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan prinsip perlembagaan ini.
“Perlembagaan itu sendiri telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Namun, agama Islam itu harus ditadbir urus mengikut prinsip yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, Yadim percaya isu sebenar dalam kes Nik Elin itu sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Namun, katanya, ia sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip Federalisme yang mana Mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh DUN.
Mahkamah Persekutuan akan memutuskan esok sama ada membenarkan atau menolak petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha memfailkan petisyen itu dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah. – UTUSAN










