Bernas bantu kerajaan jamin bekalan beras cukup - Utusan Malaysia

Bernas bantu kerajaan jamin bekalan beras cukup

bernas
Bernas akan bantu kerajaan stabilkan bekalan beras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan meneliti harga pasaran beras antarabangsa membabitkan kos operasi sehingga kadar pertukaran mata wang asing sebagai usaha membantu kerajaan menawarkan harga beras putih import (BPI) lebih rendah.

Bernas dalam kenyataan berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa untuk mencari mekanisme dan langkah intervensi terbaik.

Katanya, ia sebagai langkah untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan ke­tersediaan bekalan beras yang stabil dan mencukupi untuk rakyat.

“Walaupun trend harga beras import masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas, Bernas telah membawa masuk dan mengedarkan sebanyak 1.03 juta tan metrik pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun sebe­lumnya.

“Pada masa sama, Bernas terus komited melaksanakan obligasi sosialnya dalam mengurus stok penimbal negara dan sebagai ‘buyer of last resort’ atau pembeli padi yang terakhir,” kata kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Bernas menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya inisiatif beras putih Malaysia Madani diteliti dan diperhalusi melalui sesi penglibatan lebih terperinci oleh semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Bernas turut memuji usaha kerajaan yang mendengar dan mengambil kira semua pandangan daripada wakil kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada sesi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada Jumaat lalu,” katanya.

Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebelum ini membuat pengumuman dengan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×