KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Perak, Prof. Dr. Aziz Bari berkata, peluang harus diberikan kepada UMNO dan DAP untuk menstabilkan politik serta meningkatkan ekonomi negara
yang berkait rapat dengan isu kos sara hidup rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, oleh itu tidak logik penilaian kerjasama politik antara UMNO dan DAP dibuat dalam masa yang singkat.
“Saya tidak merujuk kepada kerjasama antara DAP dan UMNO secara spesifik. Saya merujuk kepada isu lain,” katanya ketika menjelaskan kenyataan yang dibuatnya kelmarin.
Mengulas lanjut kenyataan beliau seperti disiarkan akhbar ini kelmarin mengenai kerjasama UMNO-DAP, Azizi menyifatkan kerjasama kedua-dua parti itu bukan perkara yang dibuat-buat.
“Tidak ada parti dalam dunia ini yang berbuat demikian,” katanya.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong ketika negara mengalami situasi tergantung apabila tiada parti yang dominan untuk membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketika itu gabungan Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi di Parlimen, Perikatan Nasional (PN) pula 74 kerusi Parlimen.
Selain itu, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih sejumlah 30 Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (Warisan) (tiga) dan calon Bebas (dua).
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mentadbir lebih setahun dan penggal kerajaan itu akan berakhir sehingga 2027 sebelum
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 dilaksanakan semula. – UTUSAN










