PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan beras putih Malaysia Madani akan membantu negara memerangi tindak-tanduk kartel yang sebelum ini mensabotaj bekalan makanan ruji tersebut sehingga membebankan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa cadangan untuk mewujudkan beras putih Malaysia Madani akan menyokong tindakan kartel mensabotaj bekalan beras negara.
Menurut beliau, cadangan tersebut yang dibuat untuk menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) yang dimansuhkan akan menghalang daripada kumpulan `tangan hitam itu’ memainkan harga beras.
“Tidak, (cadangan tersebut membolehkan) kita memotong campur tangan kartel (yang akan menjejaskan bekalan dan harga beras).
“Kita akan bincang (mengenai perkara tersebut) dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) seterusnya,” katanya ketika ditemui media, di sini.
Perdana Menteri hadir majlis ramah mesra bersama warga Maybank di Menara Maybank, di sini dan dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Naím Mokhtar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakhirsnan.
Anwar mengulas mengenai dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bahawa cadangan mewujudkan beras putih Malaysia Madani akan menguntungkan kartel tetapi merugikan rakyat.
TAHAN SARA DIRI
Beliau menggesa kerajaan untuk kembali fokus dalam usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras tempatan dan tidak melakukan tindakan yang akan menguntungkan pihak kartel.
Terdahulu, media melaporkan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga Pengerusi Naccol membuat pengumuman dengan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) yang dikatakan boleh didapati di pasaran mulai 1 Mac ini.
Serentak itu, katanya, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu menjelaskan kerajaan belum membuat sebarang ketetapan susulan cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih Malaysia Madani.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini mengesahkan bahawa Jumaat ini Naccol akan bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Anwar sendiri bagi bagi membincangkan isu kos sara hidup terutamanya bekalan beras negara.- UTUSAN










