SEREMBAN: Seorang bekas pembantu tadbir didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM500 bagi urusan rasmi berkaitan tugasnya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Rahman Kassim, 61, yang kini sudah bersara mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu pembantu tadbir yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu, telah setuju menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga tanpa suatu balasan iaitu wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki yang ada kena mengena dengan urusan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah gerai Majlis Daerah Jelebu, Kampung Peradong, Jelebu, pada 17 Disember 2021.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan fakta dan hukuman serta menawarkan wang jaminan sebanyak RM7,000.
Meor Sulaiman kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh. Kes disebut semula 15 Mac depan.-UTUSAN.










