PETALING JAYA: Kempen #GengSubuhMacamJumaat cetusan selebriti serba boleh, Alif Satar diperluaskan di seluruh negara oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, program tersebut diteruskan kerana dilihat dapat memberi banyak manfaat kepada semua pihak.
“Dengan komitmen untuk mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’, Bank Muamalat bercadang memperluaskan program #GengSubuhMacamJumaat ke negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Alif yang juga pelakon drama Bukan Sekadar Lafaz telah mewujudkan ‘gelombang’ dan fenomena luar biasa apabila jemaah pelbagai lapisan umur memenuhi ruang solat pada waktu Subuh seperti Solat Jumaat.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyarankan ahli jawatankuasa masjid untuk terus mempelbagaikan aktiviti bagi mengimarahkan masjid supaya gelombang ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ tidak terhenti.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, program tersebut kini diteruskan Bank Bank Muamalat di empat negeri sejak Sabtu lalu iaitu di Selangor, Kelantan, Melaka dan Pahang.
“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat komited untuk menjadi bank pertama yang menyambut usaha murni melalui program tanggungjawab sosial korporat yang giat kami jalankan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










