Bangunan 'berhantu' di Klinik Desa Bakar Batu dinaik taraf - Utusan Malaysia

Bangunan ‘berhantu’ di Klinik Desa Bakar Batu dinaik taraf

LING TIAN SOON (dua kanan) bergambar dengan petugas kesihatan semasa melawat Klinik Desa Bakar Batu, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menaik taraf dan membaiki bangunan bersebelahan Klinik Desa Bakar Batu, di sini yang dikatakan bangunan berhantu oleh penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, bangunan itu akan digunakan sebagai bangunan tambahan bagi klinik desa berkenaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Baru-baru ini tular sebuah video dengan rakaman bangunan terbiar di sebelah Klinik Desa Bakar Batu, Johor Bahru yang dikatakan sebagai “rumah hantu.

“Walau bagaimanapun, pihak yang membuat hantaran tersebut mungkin salah faham bahawa bangunan terbiar itu pada asalnya digunakan sebagai kuarters dan telah terbengkalai selama bertahun-tahun. 

“Sehubungan itu, JKNJ bercadang mengubah bangunan terbiar tersebut untuk dijadikan sebagai ruang tambahan bagi meluaskan klinik sedia ada,” katanya selepas melakukan lawatan ke Klinik Desa berkenaan, di sini.

Tian Soon berkata, Klinik Desa Bakar Batu yang terletak bersebelahan dengan kuarters terbiar itu telah dinaik taraf pada 2010 bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat pada ketika itu.

“Saya mengharapkan perkongsian yang dibuat diselidiki terlebih dahulu, mendedahkan maklumat penuh kepada umum kerana perkongsian tidak lengkap ini telah menimbulkan salah faham orang ramai yang menganggap bahawa klinik tersebut daif.

“Namun, saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Johor atas keprihatinan mereka terhadap kemudahan perubatan di negeri ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa Johor telah menerima pembiayaan berjumlah RM13 juta bagi menaik taraf 29 klinik sepanjang tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN