ROMPIN: Seorang ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini mengakui ada wakil kerajaan mengajaknya berjumpa dipercayai untuk memujuknya bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah mendakwa, beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wakil kerajaan terbabit kerana berasa curiga dengan niatnya.
“Dua kali saya dihubungi, pertama melalui email sekitar bulan Oktober tahun lalu dan kedua menerusi aplikasi WhatsApp antara hujung Disember dan awal Januari lalu.
“Pertama dia (wakil kerajaan) ajak jumpa untuk bincang berkenaan projek di Rompin dan kedua, hendak bagi bantuan banjir sebab dia beranggapan sebagai wakil rakyat pembangkang, saya tiada peruntukan dan memerlukannya.
“Tetapi saya tidak layan sebab saya percaya dia hendakkan sokongan. Saya kekal bersama parti saya dan saya terus istiqamah, walaupun Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bagi tahu akan ada 10 lagi, tapi yakin tiada lagi,” dakwanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Kampung Rekoh Baru di sini hari ini.
Sebelum ini, Syed Abu Hussin mendakwa 10 lagi ahli Parlimen Bersatu akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dilaporkan mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen PN dari Bersatu menyatakan sokongan terhadap Anwar iaitu, Syed Abu Hussin; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.
Mengulas lanjut, Abdul Khalib mendakwa, enam Ahli Parlimen Bersatu itu bertindak menyokong kepimpinan Anwar setelah berjumpa dengan wakil kerajaan.
“Enam orang ahli parlimen terlibat berjumpa (wakil kerajaan), saya tidak mahu jumpa dan insya-Allah saya kekal istiqamah, saya jadi calon, saya menang sebab parti (Bersatu) yang pilih saya (bertanding) di sini.
“Saya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk rakyat, susah macam mana pun, walaupun tidak ada peruntukan, biarlah kita buat kerja dengan cara kita,” katanya.
Mengulas dakwaan Syed Abu Hussin kononnya terdapat ramai lagi ahli parlimen PN akan mengumumkan sokongan kepada Anwar menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 26 Februari ini, Abdul Khalib berkata, ahli parlimen Bukit Gantang itu hanya ‘bercakap kosong’.
“Dia cakap ada enam hingga 10 lagi yang akan umum sokong Anwar, jadi mana senarai nama itu? Tunjuklah kalau betul ada lagi.
“Paling saya tak puas hati, dia cakap ada (ahli parlimen PN daripada Bersatu) dari Pahang. Kalau di Pahang, cuma saya dan Indera Mahkota saja, mana ada kami akan sokong Anwar,” katanya. – UTUSAN










