Wakil rakyat boleh tolak pencen – PM

Wakil rakyat boleh tolak pencen – PM

ANWAR Ibrahim (dua kiri) memberi makan ketika melakukan lawatan ke Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Kuala Lumpur, semalam. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas wakil rakyat yang mempunyai lebih daripada satu pencen boleh menolaknya jika mereka mempunyai tanggungjawab moral berbuat demikian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Perdana Men­teri berkata, perkara itu terserah kepada individu ber­kenaan termasuk dalam kala­ngan yang pernah memegang jawatan menteri dan menteri besar sekiranya berasakan langkah itu dapat menjimatkan per­belanjaan kerajaan.

Beliau berkata, pemansuhan pencen wakil rakyat buat masa ini memerlukan pindaan undang-undang jika perkara itu dimuktamadkan oleh kerajaan kelak.

“Orang mendapat gaji menteri, menteri besar dan pekerjaan di jabatan kerajaan tiga empat (pencen) paling kecil mungkin melihat keadaan ini memenuhi tanggungjawab mo­ral menolak pencen lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya selepas Majlis Sambutan Jubli Intan ­Ulang Tahun ke- 60 Zoo Negara, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyata­an Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau di­sebut gratuity (ganjaran), bukannya pencen seperti difahami sesetengah pihak.

Kelmarin, Anwar berkata, langkah memansuhkan pencen penjawat awam juga akan terpakai ter­hadap ahli-ahli politik termasuk wakil rakyat.

Mengenai Palestin, Anwar berkata, Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk membela nasib rakyat Palestin tidak hanya gesaan gencatan senjata, malah mahu Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, negara ini me­nyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menetapkan Israel mesti menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Malaysia akan terus memantau dan lakukan apa sahaja seperti mana disuarakan Menteri Luar di sidang PBB New York beberapa hari lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan menghubungi Presiden China, Xi Jinping supaya tempoh pasangan haiwan panda Xing Xing dan Liang Liang yang di­pinjamkan republik berkenaan kepada negara ini dilanjutkan.

“Saya optimistik bahawa China akan berikan pertimba­ngan dan sokongan kepada permintaan kita ini,” katanya.

Mengikut jadual, Xing Xing dan Liang Liang dipinjamkan kepada Malaysia pada 2014 dan akan berada di Malaysia sehingga 20 Mei 2024.

Ditanya mengenai ada yang berpandangan kehadiran pan­da itu sebagai membazir dan sepatutnya dipulangkan, beliau menjelaskan, Malaysia tidak membayar harga panda berkenaan.

“Kita tidak bayar harga panda itu, cuma penjagaannya sahaja dan kalau ada kesediaan. Kadangkala ada orang cerdik pandai di Kuala Lumpur dia tak minat sebab dia boleh pergi ke negara China melihat panda.

“Namun bagi rakyat keba­nyakan, mereka berasakan ini sahaja peluang sekali dan seumur hidup melihat panda. Jadi saya timbang dari segi itu,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan bernilai RM10 juta termasuk RM5 juta daripada kerajaan untuk menjaga dan memelihara haiwan di Zoo Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN