KANGAR: Pas mempersoalkan UMNO khususnya kepemimpinan tertinggi parti itu yang dilihat ‘menikus’ terhadap sikap pemimpin DAP yang sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu-gugat sensitiviti umat Islam dan Melayu di negara ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, antaranya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO yang sepatutnya tampil ke depan memperjuangkan mengenai perkara itu termasuk perlu menyiasat mengenainya berikutan kenyataan-kenyataan berkenan mempunyai unsur 3R.
Katanya, baru-baru ini, cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam juga disifatkan agak keterlaluan.
“Azalina yang sebelum ini terlalu lantang perlu tampil ke depan dan menjadi ‘hero’ buat umat Islam dan Melayu di Malaysia dalam hal ini sebagaimana kelantangan beliau (Azalina) dalam isu Sanusi (Menteri Besar Kedah) sebelum ini.
“Cadangan ini (Koo Ham) sepatutnya disiasat kerana mempunyai unsur 3R walaupun pihak terlibat telah meminta maaf,” katanya.
Koo Ham sebelum ini dilapor menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Kata Koo Ham, langkah tersebut bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Bagaimanapun, Koo Ham memohon maaf atas cadangannya itu dan langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam. – UTUSAN










