Tuntutan hasil negeri, jangan hanya 'menyalak' - Utusan Malaysia

Tuntutan hasil negeri, jangan hanya ‘menyalak’

Ketua Pemuda UPKO Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sayap Pemuda Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mempersoal tindakan Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) mengenai tindakan mereka yang disifatkan setakat ‘menyalak’ di media tetapi tidak ada solusi berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri yang dikutip Persekutuan. 

Ketua Pemuda UPKO Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic berkata, sikap Presiden Anak Negeri, Datuk Henrynus Amin, yang hanya lantang mengkritik di media tidak dicerminkan melalui tindakannya untuk menyelesaikan perkara itu. 

Sedangkan, menurut beliau, UPKO melalui Presiden, Datuk Ewon Benedick mengambil inisiatif berterusan demi merealisasi tuntutan berkenaan dengan cara berunding dengan pelbagai pihak. 

Billy Joe turut mencabar Henrynus untuk mengambil pendekatan sendiri menyelesaikan masalah yang diwarisi sejak sekian lama berhubung kutipan hasil negeri Sabah. 

“Apa yang Henrynus sudah buat selain menyalak secara kosong di media? Menyalak kosong seperti ini ramai orang yang boleh buat, tetapi mengambil inisiatif, tampil dengan cadangan dan usaha penyelesaian seperti dibuat Ewon tidak ramai yang mahu buat. 

“Daripada melihat secara negatif inisiatif yang diambil oleh Ewon, lebih baik Henrynus adakan inisiatif beliau sendiri. 

“Jika perkara ini begitu mudah untuk diselesaikan, ia sudah diselesaikan semasa Henrynus menjadi Ahli Parlimen Kinabalu dahulu. Tetapi, saya amat yakin sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen, beliau tidak pernah bangkit dan cari inisiatif ketika itu,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Henrynus yang disiarkan akhbar tempatan semalam yang mempersoal tujuan UPKO mengadakan perbincangan meja bulat untuk mencadang mekanisme pembayaran alternatif bagi 40 peratus hasil negeri Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Pada 6 Januari lalu, UPKO dilaporkan mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semua 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah dalam pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. 

Katanya, cadangan itu adalah hasil perbincangan pemimpin-pemimpin UPKO bersama beberapa pakar termasuk peguam, bekas majistret serta pakar perakaunan, percukaian dan pengauditan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN