Suami isteri cedera, motosikal dinaiki langgar jalan berlubang - Utusan Malaysia

Suami isteri cedera, motosikal dinaiki langgar jalan berlubang

KEADAAN jalan yang berlubang di Jalan Kampung Tarun-Broga, Lenggeng telahpun dibaiki pihak berwajib selepas mendapat aduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri nyaris maut selepas terbabit dalam kemalangan akibat terlanggar permukaan jalan berlubang sedalam 20 sentimeter di Jalan Kampung Tarun-Broga, Lenggeng di sini malam semalam. 

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Lim Chun Weng berkata, pasangan suami isteri yang berusia lingkungan 30-an itu, difahamkan mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya difahamkan sebelum kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam itu, mereka dalam perjalanan pulang ke Cheras, bagaimanapun setiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang terlanggar permukaan jalan berlubang.

“Sehari sebelum kejadian berlaku, saya telah pun membuat tinjauan di lokasi berkenaan setelah mendapat aduan berkaitan dengan isu jalan berlubang daripada ketua kampung. Sebaik menerima aduan, isu berkenaan telah pun saya adukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Bagaimanapun, permukaan jalan berkenaan gagal diselenggarakan dengan baik sehingga telah berlakunya satu kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal keesokan harinya. Perkara dibimbangi berlaku, akhirnya terjadi,” katanya ketika dihubungi.

Chun Weng berkata, beliau sekali lagi telah menghubungi pihak JKR memaklumkan perkara tersebut dan sebaik sahaja dimaklumkan pihak berkenaan telah membuat penyelenggaran jalan semula pada malam tadi dan juga pada pagi ini.

Katanya, isu permukaan jalan berlubang sehingga boleh mendatangkan risiko ini bukanlah kali pertama berlaku. 

“Apabila kerja-kerja penyelenggaraan jalan gagal dilaksanakan dengan baik dan sempurna sudah tentu, ia akan mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya. 

“Kegagalan pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan menyebabkan kerajaan negeri dikritik kerana gagal menyediakan infrastruktur jalan yang baik. 

“Berikutan itu, saya juga akan usulkan perkara ini kepada Pengarah JKR negeri supaya tindakan dengan lebih terperinci dapat diambil ke atas jalan-jalan yang berisiko dibawah kendaliannya,” katanya lagi-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya