BAGAN SERAI: Kira-kira 30 peratus daripada 18,900 hektar sawah dari Bagan Tiang hingga Selinsing dekat sini mengalami kerugian apabila diserang tikus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing, Mohd. Shukri Khaidir, 52, berkata, tikus memakan batang padi menyebabkan pertumbuhan tanaman itu terjejas.
Menurutnya, hampir separuh daripada tanaman padi seluas lima ekar yang diusahakannya rosak.
“Sebelum ini tidak pernah terjadi serangan tikus hingga ke tahap sebegini. Ini merupakan kali pertama berlaku sejak saya mengusahakan sawah 10 tahun lalu,” katanya.
Katanya, petak padi pesawah lain pun turut diserang tikus.
“Sebelum menabur benih, saya letak biji racun tikus dalam lubang-lubang tikus di sepanjang batas sawah.
“Saya gaulkan benih padi dengan racun tikus bagi mengelak haiwan perosak itu memakan benih padi yang ditabur.
“Selain itu, saya pastikan batas sentiasa bersih daripada tumbuhan bagi mengelak tikus membuat sarang,” katanya.
Jelasnya, dia turut membuang air dari petak sawah lebih awal dari tempoh ditetapkan dengan harapan tikus berkurangan.
“Jangkaan jadual tarikh musim tuaian ialah antara 10 atau 20 Februari depan. Sekiranya ancaman haiwan perosak ini berterusan, hasil tuaian mungkin berkurangan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Riduan Othman berkata, pihaknya masih menjalankan bancian bagi mendapatkan jumlah kawasan tanaman padi yang terjejas akibat serangan tikus.
“Boleh dikatakan semua mukim di daerah Kerian terkena serangan haiwan perosak ini. Setakat ini anggarannya lebih 30 peratus kawasan padi di Kerian terkesan dengan isu ini,” katanya. – UTUSAN










