Samun ala filem Tamil, polis Lipis tahan suspek lelaki, 'kekasihnya' - Utusan Malaysia

Samun ala filem Tamil, polis Lipis tahan suspek lelaki, ‘kekasihnya’

SEBILAH pisau dan wang tunai antara yang dirampas daripada suspek lelaki India dalam kejadian samun dan mencederakan pekerja warga Bangladesh di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Polis daerah ini menahan seorang suspek lelaki India dan pasangan ‘kekasihnya’ berikutan kejadian samun di hadapan sebuah rumah bernombor 37, Taman Perumahan Bandar Baru di sini.

Ekoran kejadian pukul 11.30 malam semalam itu, seorang lelaki warganegara Bangladesh, Laltu Miah, 40, bertugas sebagai penyelia kedai runcit dan kedai mencuci kereta di Bandar Baru di sini mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan dan jari kiri.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis menerima aduan daripada seorang pengadu yang juga pemilik premis di situ berhubung kejadian samun tersebut.

“Pengadu memaklumkan bahawa beg mangsa yang berisi wang hasil pendapatan kedai, kunci kedai dan sekeping pasport dilarikan oleh suspek lelaki India tersebut.

“Pengadu turut membawa mangsa ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan dan kemudiannya membuat laporan polis,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Menurut Azli, pengadu juga memberitahu wang berjumlah RM6,750 pada mangsa yang merupakan gaji pekerja
disamun termasuk kunci kedai dan pasport Bangladesh milik mangsa.

Beliau berkata, berasaskan aduan itu serta siasatan terhadap mangsa, dia dapat mengecam suspek, iaitu berbadan tidak terlalu kurus serta ketinggian dalam anggaran 170 sentimeter menerusi cahaya lampu di hadapan rumahnya.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek lelaki berusia 21 tahun beralamat di Jalan Tempoyang di sini juga membawa bersama seorang wanita yang juga ‘kekasihnya’ bernama Shanu Priya, 17, sebagai ‘umpan’ bertemu janji dengan mangsa di hadapan rumah berkenaan.

“Dipercayai aktiviti jenayah terancang ini dilakukan suspek lelaki berkenaan yang pada awalnya berpura-pura bertanya arah jalan, kemudian mengumpan ‘kekasihnya’ bertemu mangsa kerana mengetahui mangsa membawa duit gaji pekerja dalam jumlah yang banyak setiap kali tarikh 8 hari bulan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, suspek lelaki memegang sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan tapak tangan dan jari kiri mangsa.

Beliau berkata, suspek lelaki dan ‘kekasihnya’ ditahan pukul 2.30 pagi hari ini di kawasan bandar tersebut.

“Polis merampas sebilah pisau, wang tunai RM6750, dua keping kad mesin pengeluaran wang automatik. (ATM), telefon bimbit, beg duit yang mengisi sejumlah RM693, surat nombor keselamatan kad CIMB milik suspek lelaki, sehelai baju dan seluar panjang dan resit pertukaran mata wang asing Syarikat Merchantrade Asia Sdn. Bhd. atas penama Laltu,” katanya.

Ujarnya, permohonan reman terhadap suspek lelaki dan ‘kekasihnya’ dibenarkan oleh Majistret Lipis selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut kes tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya