RANTAU PANJANG: Seorang petani kerugian lebih RM25,000 selepas tanaman mentimun yang diusahakannya secara fertigasi di Kampung Telaga Mas di sini musnah ditenggelami banjir, minggu lalu.
Situasi tersebut sekali gus meranapkan impian Mohd. Nor Hafiz Mohd. Nor, 32, untuk menuai hasil tanaman mentimun yang diusahakannya itu.
Menurutnya, ini merupakan kali kedua dia berdepan kerugian akibat banjir sejak tahun 2022.
“Sebelum ini kawasan ladang tidak pernah ditenggelami air lebih 0.7 meter. Kalau ada pun ia tidak terus, selain itu air mudah surut.
“Namun sejak pembinaan benteng menerusi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, kawasan kebun ini sering dilanda banjir buruk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd. Nor Hafiz memberitahu, dia hanya sempat menuai hasil beberapa kali sebelum ladangnya ditenggelami banjir.
Katanya, peningkatan paras air terlalu cepat dan tinggi menyebabkan dia hanya mampu melihat dari jauh 3,000 polibeg tanaman mentimunnya itu ditenggelami air.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai satu ujian.
“Banjir hujung Februari 2022 saya kerugian hampir RM15,000,” ujarnya.
Mohd. Nor Hafiz berkata, dia akan terus berjuang selepas ini untuk mengusahakan semula tanaman tersebut yang merupakan mata pencarian utama menyara keluarga. – UTUSAN










