ALOR SETAR: Walaupun menjual pelbagai aneka makanan dengan harga cuma RM3 setiap pek, seorang peniaga di Jalan Datuk Kumbar di sini tetap untung.
Noorwarda Mohd. Noor, 31, yang juga pemilik Rumah Kedai Tiga Ringgit berkata, hasratnya selain meraih pendapatan sebagai peniaga vendor juga mahu berkongsi rezeki dengan orang ramai terutama dalam kalangan kurang berkemampuan.
“Untung memang tak banyak tetapi masih bertahan kerana saya mula berniaga sejak Jun lepas. Begitu juga dengan vendor lain yang meletakkan makanan mereka di kedai ini semuanya RM3. Mereka juga mengatakan masih ada untung dan akan terus berniaga dengan saya.
“Terdapat lebih 100 jenis makanan daripada pelbagai menu di kedai saya merangkumi masakan tradisional Melayu, Jawa, barat, Cina dan Korea termasuk pencuci mulut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Noorwarda, menu paling popular di premis terletak di pekarangan rumahnya itu adalah tomyam mi segera udang galah, kambing panggang dan keju makaroni yang dibuat sendiri.
“Tiga menu ini saya jual dan paling popular. Saiz kecil dan murah supaya semua dapat merasa termasuk yang kurang mampu. Kalau makan di restoran tentu berbelas ringgit juga,” katanya.
Katanya, dia menyediakan lebih kurang 12 menu sementara makanan lain dibekal daripada semua 60 vendornya.
“Banyak vendor saya adalah mereka senasib dengan saya yang terpaksa menutup kedai atau restoran ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Dahulu saya juga mempunyai restoran makanan barat tetapi lepas pandemik terpaksa tutup. Saya gembira dapat membantu mereka bangkit sama seperti saya yang bangkit untuk berniaga,” katanya.
Noorwarda yang sudah 10 tahun berniaga sama sekali tidak menyangka kedai tersebut tular dan meraih sambutan dalam kalangan pelanggan dari seluruh Kedah.
“Kedai dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu bermula pukul 12 tengah hari, tetapi 11.45 pagi pelanggan sudah menunggu. Sehari kedai ini dikunjungi lebih 500 pelanggan yang bukan sahaja dari Alor Setar tetapi daerah lain.
“Kami beroperasi sehingga semua makanan habis, antara pukul 2 hingga 4.30 petang, tengok hari juga kadang-kadang sekejap saja licin. Setiap hari, kami berjaya menjual antara 2,000 hingga 3,000 pek makanan,” kata pemegang diploma dalam bidang kulinari. – UTUSAN











