Replika naga bercahaya sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Replika naga bercahaya sempena Tahun Baharu Cina

LIM Yee Ting menghias kepala replika naga sebelum dipamerkan di Pekan Lama Arau sempena Tahun Baharu Cina. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekumpulan sukarelawan menghasilkan replika naga bercahaya sepanjang 18.3 meter dan setinggi 3.7 meter bermula Oktober tahun lalu dan bakal dipamerkan di karnival Pekan Lama Arau di sini sempena Tahun Baharu Cina bulan depan.

Penghasilan replika unik itu menelan belanja RM30,000 hingga RM40,000 dan merupakan inisiatif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis.

Rangka besi replika ber­kenaan dianggarkan seberat 200 kilogram dan buat masa ini ia telah siap sekitar 85 peratus.

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis, Ng Ban Hock berkata, penghasilan replika berkenaan adalah bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di samping merancakkan pe­nganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025).

Katanya, replika berkenaan mula dibina awal Oktober tahun lalu dengan kerjasama kira-kira 20 orang sukarelawan.

“Penghasilan replika bercahaya ini juga adalah cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail bagi mengindahkan kawasan Pekan Lama Arau.

“Tujuan kita menghasilkan replika naga ini turut bertujuan bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga Perlis di samping memberi peluang buat orang ramai mengenal budaya masyarakat Tionghoa,” katanya ketika ditemui di Jejawi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ban Hock berkata, pada peringkat permulaan, replika berkenaan dihasilkan dengan membina rangka menyerupai bentuk naga de­ngan menggunakan besi dan dawai.

Katanya, selepas itu, rangka berkenaan akan dilitupi dengan kain dan kemudiannya melalui proses pendawaian bagi mengindahkan replika itu dengan cahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×