PRN Sabah diadakan tahun ini?

PRN Sabah diadakan tahun ini?

PEMIMPIN UMNO dan Bersatu Sabah dalam satu majlis ramah mesra sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah pada tahun 2020 lalu. Ketika itu kedua-dua parti bergabung dan memenangi pilihan raya tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun masih berbaki dua tahun sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) diadakan di Sabah, namun ada kemungkinan pilihan raya ne­geri akan diawalkan.

Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada November tahun lalu turut memberi bayangan kemungkinan pilihan raya akan diawalkan.

Jika diamati, tempoh peme­rintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepatutnya berakhir pada Oktober 2025 namun, tidak mustahil PRN akan diadakan pada tahun ini.

PEMBUBARAN

Malah, cubaan menjatuhkan kerajaan melalui Langkah Kinabalu pada Januari tahun lalu gagal membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Ne­geri (DUN) seperti yang berlaku semasa pemerintahan Parti Warisan (Warisan) pada tahun 2020.

Kemelut politik yang berlaku itu berjaya diredakan selepas GRS mendapat sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian pemimpin Barisan Nasional (BN)/UMNO.

Kini timbul persoalan, sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal, siapa yang akan mempunyai kelebihan? Adakah ia akan memanfaatkan parti pemerintah atau blok pembangkang yang masih belum memuktamadkan kerjasama yang ingin dibentuk.

Berdasarkan situasi semasa, kerajaan GRS-PH mempunyai kelebihan dari segi status quo serta pengaruh kerajaan PH di peringkat persekutuan.

KEKAL KUASA

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Ag Ahmad berkata, GRS-PH mempunyai keupayaan untuk mengekalkan kuasa sebagai kerajaan pada PRN-17 yang mungkin diadakan pada tahun ini.

Malah katanya, sejak dahulu lagi kerajaan negeri Sabah kekal sehaluan dengan kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan. Kini, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan di­terajui oleh PH, BN/UMNO, GRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.

“Pemimpin parti-parti politik di Sabah akan cuba bernaung di bawah gabungan parti yang pro-kerajaan Persekutuan sementelahan, sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), landskap politik nasional dan negeri menyaksikan kerajaan GRS yang dahulunya pro-kerajaan Perikatan Nasional (PN), kini mengubah sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah PH-BN.

“Situasi ‘ikut arus’ sebegini adalah lebih relevan dan selamat bukan setakat untuk kelestarian seseorang pemimpin politik, tetapi juga parti politik yang diterajui,” katanya.

Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo UMS itu berkata, sekiranya berlaku perubahan pucuk pimpinan dan komposisi parti yang membentuk kerajaan Persekutuan maka, sudah pasti akan berlaku perubahan di peringkat negeri.

KOMPOSISI

Jika Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat bertukar maka, tidak mustahil untuk melihat perubahan sokongan serta komposisi gabungan di negeri Sabah.

Parti UMNO dan Warisan selaku pembangkang berpotensi untuk berubah sokongan kepada mana-mana gabungan yang menyokong kerajaan yang berkuasa kelak sekiranya berlaku perubahan pucuk pimpinan di peringat pusat.

Dinamika politik dan keterbukaan dalam amalan demokrasi secara real politics adalah antara petunjuk kepada terbentuknya naratif politik era baharu sama ada bagi pihak parti-parti nasional mahupun dalam kala­ngan parti tempatan Sabah.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan perspektif akar umbi yang mungkin tidak bersetuju dengan gelagat pemimpin-pe­mimpin politik tempatan.

Susulan situasi tidak menentu dalam politik negara dan negeri kebelakangan ini yang secara prinsip berlawanan dengan ideologi dan asas perjuangan satu-satu parti politik maka, penyokong dan ahli-ahli di pe­ringkat akar umbi mungkin tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan parti.

Pada masa ini, blok kerajaan yang dianggotai GRS-PH dan Pas mempunyai 50 daripada 79 kerusi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik manakala, blok pembangkang yang terdiri daripada BN/UMNO dan Warisan pula mempunyai 29 kerusi termasuk ADUN Dilantik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN