Pimpinan universiti perlu akur jika diganti

Pimpinan universiti perlu akur jika diganti

PIMPINAN universiti tempatan perlu terbuka untuk diganti jika gagal membawa perubahan kepada institusi yang dipimpin. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pimpinan universiti yang gagal membawa sebarang penambahbaikan dan perubahan terhadap institusi yang dipimpin perlu akur untuk digantikan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Arif Ismail berkata, kepimpinan akademik memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem dan tadbir urus pe­ngurusan universiti yang lebih efektif dan efisien.

Katanya, dengan pengalaman dan kepakaran yang mereka miliki, mereka harusnya mampu membawa perubahan dan terbuka untuk digantikan jika gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang di­amanahkan.

MENCABAR

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang kepada pe­mimpin universiti untuk menambah penambaikan program akademik dengan segera.

Beliau meminta KPT mencabar pemimpin universiti dalam tempoh dua tahun bagi melihat program yang lebih baik dan mengubah pemimpin institusi pengajian tinggi (IPT) jika gagal berbuat sedemikian.

Ismi Arif berkata, saranan tempoh dua tahun yang di­cadangkan oleh Perdana Menteri itu dilihatnya sebagai jangka masa yang mencukupi dengan syarat pemimpin universiti diberikan autonomi yang secukupnya.

Jelas beliau, pentadbiran sepenuhnya oleh pemimpin universiti tanpa ada masuk campur dari pihak lain diyakini dapat membuat perubahan dan tindakan bagi sistem penyampaian yang lebih efisien dan efektif.

SINGKAT

“Birokrasi yang terlampau akan menyebabkan proses penambahbaikan berlaku perlahan dan dua tahun akan dilihat sebagai terlalu singkat,” jelasnya.

Selain itu, bagi membantu pemimpin universiti dalam membuat penambahbaikan program akademik dengan le­bih baik, kerjasama antara akademia, kerajaan, industri dan komuniti perlu lebih bersifat terbuka.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berpendapat dua tahun merupakan tempoh terlalu singkat bagi menilai keberhasilan sesuatu dasar dan program akademik yang dirancang.

Menurut beliau, tempoh pendek tersebut akan menyebabkan objektif yang ingin disasarkan hanya akan menjadi ‘separuh jalan’ dan pada akhir­nya tidak akan dapat diteruskan oleh pemimpin seterusnya.

“Kementerian perlu faham bahawa program akademik bukan sekadar merangkumi penawaran program yang baharu sahaja, malah turut melibatkan cakupan program akademik dan seharusnya melangkaui peranan universiti dalam me­lahirkan modal insan berkualiti.

“Selain itu, program yang dirangka dilihat mampu membangun ilmu baharu yang dapat menyumbang kepada manfaat negara dan masyarakat serta menjadi pemangkin kepada anjakan-anjakan baharu negara,” jelasnya.

Justeru, katanya pemimpin universiti mestilah berfungsi sebagai pemboleh dalam persediaan melakukan islah iaitu usaha dalam mengembalikan sesuatu yang betul.

Tambahnya, pemimpin IPT seharusnya dapat memahami segala tatakelola dan cakna terhadap keperluan program-program baharu yang diperlukan oleh pemegang taruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN