Pesakit klinik swasta lebih terkesan dengan kenaikan harga ubat - Utusan Malaysia

Pesakit klinik swasta lebih terkesan dengan kenaikan harga ubat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesakit akan merasai kesan apabila 50 peratus bekalan ubat-ubatan untuk pelbagai penyakit yang diimport dari luar negara dijangka naik harga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, kenaikan lima ke 10 peratus bagi setiap jenis ubat terutama pattern drug iaitu ubat yang tiada alternatif itu akan memberi kesan kepada pesakit dan waris mereka terutama di sektor swasta.

“Apabila syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) menaikkan harga pasaran maka kita di Malaysia akan terkesan.

“Kesan situasi tersebut sudah pasti akan mengenai rakyat tetapi situasi akan menjadi berbeza di sektor awam dan swasta. Harga akan menjadi tidak terkawal di sektor swasta kerana tiada kawalan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan, harga ubat-ubatan di Malaysia dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus tidak lama lagi susulan jangkaan syarikat pembuatan ubat AS menaikan harga pasaran.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, kenaikan tersebut tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) sepenuhnya.

“Kita mesti ingat bukan semuanya kepada KKM, sebab mereka tidak buat penetapan harga kerana ia melibatkan perdagangan antarabangsa dan sebagainya.

UBAT

“Bagi pihak MPS, kita mahu siapa-siapa yang menjual ubat mesti isytiharkan harga ubat dan KKM boleh menyediakan garis panduan.

“Pengguna juga perlu semak harga ubat sebelum membeli bagi memastikan harga munasabah dan tidak terlalu menekan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh turut bimbang susulan jangkaan kenaikan harga ubat-ubatan tersebut.
Menurut beliau, kenaikan tersebut mampu membangkitkan pelbagai situasi yang akan memberi kesan kepada pesakit.

“Apabila kenaikan berlaku, ia akan memberi kesan kepada negara yang sedang membangun seperti Malaysia di mana kita tiada duit yang banyak seperti negara yang sudah membangun. Jadi kita akan menghadapi kesukaran untuk membiayai semua rakyat dengan ubat sema­kin mahal ini.

“Ini mungkin akan wujud keadaan di mana wujud situasi ubat-ubatan disubsidi separuh oleh kerajaan berbanding disubsidi penuh,” katanya.

Katanya, kenaikan harga tersebut juga bakal menyebabkan kurangnya akses pesakit terhadap ubat yang diperlukan terutama untuk penyakit-penyakit yang jarang ditemui.

“Ada beberapa kes dan penyakit yang pertimbangkan ia sebagai penyakit jarang ditemui, jadi kos untuk ubat-ubat penya­kit seperti itu akan meningkat sehinggakan kita bimbang akses padanya berkurang iaitu ubat tersebut habis,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×