Penganjur perlu peka, sensitif acara menjelang Ramadan - Utusan Malaysia

Penganjur perlu peka, sensitif acara menjelang Ramadan

DR. MOHD. Na'im Mokhtar (tengah) bergambar selepas Program Syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mana-mana pihak yang mahu menganjurkan acara hiburan dinasihatkan untuk lebih peka dan sensitif dalam pelbagai aspek terutamanya penganjuran program menjelang bulan Ramadan bagi mengelakkan wujud isu-isu negatif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam konteks tersebut, beliau mengharapkan isu keagamaan dapat dipelihara bagi membina keharmonian yang merupakan sesuatu yang sangat penting.

“Isu keagamaan ini sangat sensitif, sebab itu saya sebutkan bagaimana ia melibatkan isu hukum dan agama serta mufti sebagai rujukan dalam menjawab persoalan hukum tersebut. Sehubungan dengan itu, dalam isu terbaharu ini saya syorkan agar pihak penganjur dan mufti dapat duduk semeja berbincang secara baik untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. 

” Insya-Allah tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan bila kita dapat selesaikan dengan cara baik dan saksama, dalam konteks antara pihak penganjur dan mufti. Pada masa yang sama juga, mana-mana mufti apabila mengeluarkan pandangan perlulah berhati-hati dan mengambil semua kira jangan ada pandangan yang mungkin akan melibatkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam. 

“Pandangan yang diberi juga perlu menyelesaikan masalah dan tidak boleh tergantung begitu sahaja, itu harapan saya,” katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Malaysia Harmoni Siri 1 2024 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berhubung ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nur­haliza’ yang penganjurannya hampir dengan bulan Ramadan.

Bagaimanapun, Wan Salim kemudian menjelaskan tegurannya ikhlas demi kebaikan umat Islam dan bukannya untuk mencari populariti justeru memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana teguran telah menimbulkan polemik yang tidak dijangka.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, secara umumnya, usaha-usaha ke arah memperkukuhkan iman dan juga takwa diperbanyakkan menjelang Ramadan.

“Apa sahaja aktiviti seperti ceramah, kaedahnya boleh dipelbagaikan yang sudah tentu program yang dianjurkan menjurus dalam membina masyarakat Islam yang bertakwa. 

“Sebab itu saya kata, apabila isu sebegini timbul kalau ada sebarang perbezaan pandangan, sebaik-baiknya cari jalan penyelesaian yang terbaik,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebagai penggiat seni tidak kira siapa, mereka perlulah mempunyai sikap menghormati bulan Ramadan. 

“Sebagai contoh kempen solat subuh berjemaah menerusi inisiatif ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang digerakkan selebriti, Alif Satar, yang mana saya menyokong usaha tersebut. 

“Program sebegini mendekatkan lagi masyarakat dengan Allah SWT. Cuma dalam masa sama adalah penting pembinaan bukan sahaja hubungan kita dengan Allah SWT diperkukuhkan tetapi juga hubungan dengan manusia perlu dipergiatkan,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya