PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menyelaras silibus pembelajaran di semua prasekolah termasuk di bawah seliaan kerajaan dan swasta bagi memastikan semua murid mampu menguasai asas membaca, mengira dan menulis (3M) sebelum masuk Tahun Satu.
Pakar pendidikan berpandangan ketika ini tiada kesinambungan pembelajaran peringkat prasekolah dengan Tahun Satu menyebabkan ibu bapa bimbang anak-anak belum menguasai 3M ketika memasuki Tahun Satu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ketidaksinambungan itu memberi kesan lebih besar terhadap kanak-kanak yang tidak melalui prasekolah.
“Contohnya, terdapat dua murid, seorang di prasekolah, murid itu sudah boleh membaca apabila masuk Tahun 1 sangat cemerlang tetapi seorang lagi murid tiada prasekolah dia tidak tahu membaca.
“Semasa di Tahun 1, cikgu-cikgu yang mengajar menjangkakan mereka sudah boleh membaca sebab ada buku teks dengan ayat yang lengkap,” kata beliau ketika dihubungi.
Oleh itu, menurut beliau, pihaknya berharap kerajaan menyelaraskan semula pendidikan awal iaitu prasekolah di semua tadika kerajaan atau swasta untuk memudahkan apabila kanak-kanak itu melangkah ke Tahun 1.
Kata beliau, kurikulum untuk murid-murid yang memasuki Tahun 1 ketika ini seolah-olah menganggap mereka sudah boleh membaca sedangkan yang berlaku sebaliknya kerana ramai sahaja murid-murid tidak menguasai 3M.
Anuar memberi respons demikian terhadap keputusan Kabinet Rabu lalu yang mengumumkan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara akan diselaras semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati wujud kualiti pendidikan prasekolah yang pelbagai di seluruh negara ketika ini.
PENDIDIKAN
Beliau menjangka, cabaran ke arah penyelarasan sistem pendidikan prasekolah ialah pelbagai kementerian harus berbincang secara bersama.
“Cabarannya ialah bagaimana semua pihak terlibat duduk bersama dan sedia memberi tanggungjawab kepada KPM menjadi penyelaras sebab penstrukturan ini melibatkan kakitangan, peruntukan dan lain-lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, bagi memastikan matlamat dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak tercapai guru yang ditugaskan mengajar murid prasekolah mestilah dalam latar belakang pendidikan selayaknya.
Kata beliau, penganjur prasekolah harus memastikan tenaga pengajarnya dalam kalangan layak untuk mengajar kanak-kanak menguasai 3M sebelum melangkah ke Tahun 1.
“Berhentikan pusat-pusat prasekolah mengambil tenaga pengajar yang ala kadar kerana prasekolah adalah institusi penting membina generasi pelapis negara,” kata beliau.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kerajaan wajar mempertimbang untuk meniru sistem PAKK antarabangsa untuk disesuaikan di negara ini.
“Di peringkat antarabangsa, ada silibus dan kaedah pengajaran tersendiri untuk murid prasekolah dalam lingkungan umur berbeza, jadi, elok jika kerajaan mempertimbang perkara ini,” katanya.
Selain itu, Alimuddin berkata, kerajaan wajar memperluas prasekolah di seluruh negara seperti sekolah rendah dan menengah di samping menekankan aspek yuran murid prasekolah supaya kosnya tidak terlalu tinggi.
“Dimaklumkan ada yuran prasekolah (swasta) yang lebih tinggi dari universiti sehingga mencecah ribuan ringgit. Jadi, kosnya mestilah munasabah. Selain itu, saya mengalu-alukan jika kerajaan memperluas lagi prasekolah di seluruh negara supaya ibu bapa boleh menghantar anak mereka di sana,” katanya.- UTUSAN










