Pendapatan 100,000 penunggang p-hailing terjejas teruk

Pendapatan 100,000 penunggang p-hailing terjejas teruk

PENUNGGANG p-hailing berharap agar kerajaan dapat campur tangan berhubung isu penurunan upah penunggang p-hailing yang disifatkan membebankan di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lebih 100,000 penunggang p-hailing di seluruh negara terkesan berikutan isu pengurangan upah bayaran oleh syarikat penyelia Grab, sekali gus menyebabkan pendapatan golongan berkenaan menyusut sehingga 30 peratus.

Upah bayaran sebelum ini RM4 bagi perjalanan dua kilometer pertama kini turun kepada RM3.50 bagi jarak sama.

Selain itu, ketiadaan penambahan bayaran upah buat penunggang bagi jarak melebihi 10 kilometer turut memberi tekanan kepada pekerja sektor tersebut yang hanya sekadar ‘cukup makan’ selepas seharian bekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil penunggang p-hailing, Fazly Ahmad Fazhil, 42, berkata, dianggarkan sekitar 100,000 penunggang p-hailing di negara ini berdepan penurunan pendapatan antara 25 hingga 30 peratus dengan meraih hasil sekitar RM35 hingga RM70 sahaja sehari di Perlis berikutan pelaksanaan berkenaan.

Katanya, sebelum pelaksanaan tersebut, anggaran pendapatan diraih oleh penunggang p-hailing adalah antara RM50 hingga RM100 sehari.

“Namun selepas pelaksanaan pengurangan upah bayaran, kebanyakan penunggang terpaksa berdepan penurunan pendapatan pada setiap hari dan menjejaskan ramai pekerja terlibat,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan digesa untuk campur tangan dalam isu pengurangan upah penunggang p-hailing dan mengambil tindakan untuk membela nasib kumpulan pekerja ekonomi gig tersebut.

Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dalam kenyataan memaklumkan, penurunan kadar bayaran upah yang dilakukan oleh sebuah syarikat penyelia, Grab baru-baru ini merupakan keputusan terburu-buru tanpa berbincang dengan penunggang p-hailing.

Walau bagaimanapun, Grab dalam satu kenyataan mempertahankan struktur tambang penghantaran dan bonusnya yang baharu kerana ia dilihat lebih memberi manfaat kepada kumpulan pekerja tersebut.

Struktur baharu tersebut menyaksikan tambang asas dikurangkan tetapi insentif diterima penunggang p-hailing dinaikkan semasa penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran ‘pick-up’.

Dalam pada itu, seorang lagi penunggang p-hailing, Noor Sallizal Mhd Noor, 45, berkata, pendapatannya juga terjejas dengan pelaksanaan tersebut dan hanya sekadar ‘cukup makan’ bagi menampung keperluan keluarga.

Sementara itu, seorang lagi penunggang p-hailing, Shamel Faez Shuhaimi, 32, pula berharap agar kerajaan dapat campur tangan dalam permasalahan itu dengan meletakkan paras harga siling bagi bayaran upah di sesebuah kawasan dalam mengurangkan bebanan ditanggung pekerja sektor ekonomi gig terlibat.

Tambahnya, kadar harga siling pada paras RM4.50 dilihat amat bersesuaian dengan keadaaan ekonomi semasa di negara ketika ini.

“Jika diikutkan, penunggang p-hailing perlu mengeluarkan banyak kos antaranya bagi menukar minyak hitam pada setiap dua minggu dan beberapa perbelanjaan lain. Malah jika ditetapkan paras harga siling, kami juga mampu untuk menyimpan sedikit perbelanjaan untuk kegunaan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN