Pemuda PN mahu polis siasat dakwaan Koo Ham

Pemuda PN mahu polis siasat dakwaan Koo Ham

NGEH KOO HAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengaitkan kebakaran rumah akibat serangan bahan letupan, molotov cocktail di Ayer Tawar, Manjung, Perak disebabkan isu mencampuri urusan Islam disifatkan sebagai biadab.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Ham itu dilihat mendahului siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

“Susulan itu, satu laporan dibuat oleh Pemuda PN bagi menggesa polis menyiasat kenyataan dikeluarkan Koo Ham.

“Malah dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semalam bahawa jangan ada sesiapa mendahului siasatan termasuklah mengeluarkan persepsi,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini. 

Ahmad Fadhli berkata, tindakan melakukan ugutan untuk membunuh dan melakukan khianat terhadap Koo Ham juga bukanlah satu pendekatan politik PN.

“Saya berharap polis dapat mempercepatkan siasatan meskipun beliau (Koo Ham) sudah memaafkan pelakunya dan bagi kami, ini bukan hak beliau untuk memberi kemaafan. Maaf atau tidak, itu perkara kedua dan paling penting adalah polis siasat dan heret pelaku ke muka pengadilan,” katanya.

Pada 30 Disember lalu, Koo Ham mencadangkan pakar perlembagaan dalam kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Semalam, polis mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap insiden di kediaman Koo Ham mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Siasatan awal di tempat kejadian menemui satu botol disyaki molotov cocktail dipercayai menjadi punca kebakaran tiga kereta milik Penasihat DAP Perak itu.

Ketika kejadian, Koo Ham dan isterinya sedang tidur di tingkat atas sebelum terjaga kerana deringan loceng rumah dibunyikan berkali-kali oleh jiran mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 pagi itu, Mercedes Benz E300 dan dua lagi kereta milik Koo Ham musnah terbakar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN