MyCC sukar siasat isu kartel beras

MyCC sukar siasat isu kartel beras

MARZUKHI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pasti berdepan kesukaran menyiasat isu ‘kartel beras’ kerana kilang-kilang dan pemborong-pemborong besar beras tidak berpakat menentukan harga beras.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah ada sebahagian pemborong yang bertindak mencampurkan produk tempatan dan import.

Pemborong terbabit kemudiannya menjual beras campur itu sebagai produk  import menyebabkan pengguna terkesan dengan harga  yang tinggi manakala bekalan tempatan tiada di pasaran.

MENGUASAI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa, terdapat pemborong besar yang menguasai lebih 60 peratus pasaran makanan ruji itu dalam negara dan siasatan boleh ditumpukan kepada isu berkenaan.

“Fokus kepada pemborong besar yang memanipulasi situasi ini yang menyebabkan bekalan tempatan sering tiada di pasaran.

“MyCC tidak boleh ambil tindakan terhadap kilang-kilang besar melainkan mereka berpakat sesama mereka menentukan harga untuk menekan pengguna. Mereka (kilang-kilang besar ini) tidak tentukan harga sebaliknya pemborong yang mencampur beras,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Ka­walselia Padi dan Beras sedang bekerjasama dengan MyCC bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan pesawah.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, MyCC perlukan sedikit masa bagi memahami dan mempelajari tentang keseluruhan rantaian dalam industri padi dan beras negara.

Baru-baru ini, Marzukhi dilaporkan sebagai berkata, ‘mafia’ dalam industri makanan ruji negara itu memang wujud dan sedang menipu pengguna dan kerajaan kerana penguat kuasa tidak berupaya menentukan antara yang  tempatan dan import.

SERAGAM

Sementara itu, beliau berkata, langkah terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan adalah menyeragamkan beras tempatan dan import menjadi satu gred sahaja seterusnya menetapkan satu harga.

Katanya, jika langkah tersebut tidak dilakukan, masalah kekurangan bekalan bekalan tempatan tempatan akan terus berulang berikutan tindakan menukar gred atau mencampur tempatan menjadi import sekali gus mengaut keuntungan.

“Tetapkan satu gred sahaja kemudian tetapkan harga yang seragam. Saya juga beberapa kali mengetengahkan perkara ini agar ia mendapat perhatian dalam usaha menyelesaikan isu manipulasi makanan utama ini,” katanya.

Sementara itu, Marzukhi memberitahu, pihak MyCC masih belum menghubunginya bagi mendapatkan kerjasama atau maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN