Madrasah di Hulu Terengganu dilanda banjir 13 kali - Utusan Malaysia

Madrasah di Hulu Terengganu dilanda banjir 13 kali

KAWASAN Madrasah Addiniah Azzakiah di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu yang dinaiki air selepas hujan lebat semalam. – UTUSAN /NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Madrasah Addiniah Azzakiah di Kampung Lubuk Periuk dekat sini dilanda banjir 13 kali sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Dalam kejadian terbaharu pukul 6.30 pagi semalam, madrasah tersebut yang mempunyai 50 pelajar ditenggelami banjir sedalam hampir satu meter ekoran limpahan Sungai Peneh.

Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, keadaan sungai yang semakin cetek menyebabkan banjir makin kerap berlaku walaupun hujan lebat hanya dua hingga tiga jam.

“Sebelum ini, kejadian banjir berlaku jika hujan berhari-hari tetapi kira-kira lima tahun kebelakangan ini, bencana ini semakin menjadi-jadi. Sungai terletak hanya dua meter dari madrasah dan cepat melimpah kerana cetek.

“Kawasan madrasah biasa­nya ditenggelami banjir antara 0.5 hingga 1.5 meter dan akan surut beberapa jam kemudian jika cuaca baik. Namun jika hujan, paras air meningkat lagi.

“Sejak bermulanya MTL akhir tahun lalu hingga kini, madrasah ini telah 13 kali ditenggelami banjir. Walaupun banjir kilat beberapa jam, namun kerugian dianggarkan lebih RM5,000,” katanya ketika ditemui di Madrasah Addiniah Azzakiah di sini semalam.

Kata beliau, kerugian melibatkan barangan elektrik termasuk peti sejuk serta kayu-kayu hasil pembelian daripada duit sumbangan orang ramai bagi pembinaan pondok-pondok baharu di madrasah itu.

Katanya, kejadian terbaharu semalam berlaku selepas pelajar menunaikan solat Subuh berjemaah di surau sebelum mereka diarahkan pulang segera ke pondok masing-masing untuk lakukan persiapan berpindah.

“Bagaimanapun, banjir kali ini limpahan air hanya sedalam hampir satu meter, jadi pelajar cuma diminta berada di pondok masing-masing. Paras air mulai surut sekitar pukul 11 pagi.

“Namun, jika paras air melebihi satu meter baru pelajar diminta berpindah ke bangunan dua tingkat madrasah yang terletak berhampiran pondok di didiami mereka.

“Kayu-kayu bagi tujuan pembinaan pondok pelajar perem­puan telah banyak yang hanyut. Kita rancang ia akan dihuni pertengahan tahun ini, namun setelah banjir demi banjir melanda ini kemungkinan akan tangguh pengambilan pelajar perempuan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×