ALOR SETAR: Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta rakan sekutu mereka tidak perlu bimbang dengan sebarang usaha yang didakwa mahu mengambil alih pemerintahan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, ini berikutan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki majoriti dua pertiga iaitu satu kedudukan yang amat stabil.
Justeru, katanya, langkah mengaitkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menukar kerajaan tidak sepatutnya dibuat kerana beliau (Suhaimi) selaku pemimpin tertinggi parti tidak mendengar desas-desus itu.
“Saya rasa ini satu tuduhan yang berat, tak betul kalau kita yang dikatakan menjadi dalang kerana kalau nak jadi dalang bagi saya seluruh anggota parti atau sekurang-kurangnya saya di peringkat majlis tertinggi sudah tahu, diberi mesej untuk bersedia dan seumpamanya.
“Tetapi saya tak tahu apa langsung, tak dengar apa-apa pun berita dalaman tentang perkara itu. Malah, kami tak pernah berbincang berhubung perkara ini sehinggalah timbul laporan kononnya ada ‘Langkah Dubai’ dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Mohd. Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengulas dakwaan terdapat pertemuan tertutup beberapa wakil rakyat PN serta dua pemimpin BN di Dubai seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pertemuan itu didakwa diatur untuk mendapatkan sokongan sebahagian ahli Parlimen BN serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai gerakan untuk menarik sokongan orang Melayu khususnya UMNO bagi pembentukan kerajaan baharu.
Ditanya mengapa PN dikaitkan dengan gerakan tersebut, Mohd. Suhaimi berkata, selaku blok kedua terbesar ketika ini, tidak ada pihak lain yang akan dipersalahkan dalam segala langkah serta usaha negatif terhadap kerajaan.
“Kalau nak tuduh Pas dan Bersatu tak betul, tetapi nak tuduh siapa lagi. Walhal kerajaan ketika ini ada dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, mereka sudah ada di paras selesa dah. Apa yang hendak ditakutkan lagi.
“Melainkan ada pergolakan dalaman, angin-angin perubahan yang kita tak tahu selepas tindak-tanduk beberapa pemimpin DAP yang menyentuh isu-isu sensitif sehingga menimbulkan rasa kurang selesa terhadap pihak atau parti yang memperjuangkan agenda Melayu,” katanya. – UTUSAN










