PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membelanjakan RM350.1 juta bagi menampung kos ibadah itu yang meningkat kepada RM33,300 bagi setiap jemaah berbanding RM30,850 pada tahun lalu berikutan peningkatan pelbagai kos bagi melaksanakan ibadah haji.
Pelaksanaan rukun Islam kelima itu berdepan kenaikan kos merangkumi seluruh rantaian perkhidmatan termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa dan kos lain di dalam negara serta Arab Saudi, sekali gus memaksa kos keseluruhan terus meningkat.
Bagi menangani kenaikan itu, Tabung Haji memperuntukkan kira-kira RM350 juta bagi mengelak bakal haji kategori B40 dan M40 daripada membayar kos penuh RM33,300.
Bagi musim haji akan datang bayaran haji muassasah B40 yang pertama kali melaksanakan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 seorang manakala M40 dikenakan bayaran RM19,152.
Bagi B40, subsidi yang ditanggung kerajaan dan Tabung Haji adalah sebanyak RM20,944 manakala bagi M40, jumlah yang dibantu adalah RM14,148.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, untuk bakal haji B40 jumlah yang dibantu adalah RM20,944 seorang atau 63 peratus daripada kos keseluruhan.
“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada kos keseluruhan,” kata pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau juga menegaskan Kumpulan T20 perlu membayar bayaran penuh RM33,300 seorang.
Pada tahun lalu, hampir 500 jemaah haji musim 2022 dan 2023 dalam kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji berkenaan.
Mereka terdiri daripada 67 orang yang menolak bantuan itu secara keseluruhan dan membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 manakala 396 jemaah haji membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.
Bagi tahun ini, dijangka seramai 31,600 orang bakal menunaikan ibadah haji dan jumlah itu sama dengan yang ditetapkan Tabung Haji pada tahun lalu.
Kesemua bakal jemaah itu mula menerima surat tawaran haji bermula semalam melalui aplikasi THiJARI.
Mengikut pecahan, tawaran itu dijangka membabitkan seramai 40 peratus jemaah haji daripada kumpulan B40, 58 (M40) dan dua peratus jemaah (T20).
Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dan jawapan boleh dilakukan dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau mengunjungi mana-mana cawangan Tabung Haji yang berdekatan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berhubung kenaikan kos haji, Syed Hamadah berkata, Tabung Haji terdedah kepada faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
“Dalam usaha mengawal peningkatan kos haji, Tabung Haji juga telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.
“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, namun Tabung Haji tetap mencari kaedah terbaik bagi mengimbangi usaha dalam memberikan perkhidmatan terbaik demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan,” katanya.










