KOPYUN perintis gerakan ekosistem ternakan ayam berskala besar - Utusan Malaysia

KOPYUN perintis gerakan ekosistem ternakan ayam berskala besar

ABDUL FATTAH Abdullah (tiga dari kiri) memegang anak ayam ketika melawat ladang perintis ternakan milik Koperasi Keluarga Haji Yunus di Kampung Raja, Songsang di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Koperasi Keluarga Haji Yunus Kampung Raja Berhad (KOPYUN), Songsang di sini menjadi perintis gerakan ekosistem baharu pengeluaran ternakan ayam berskala besar bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi itu dipilih kerana berpengalaman lebih empat tahun dalam industri ternakan.

Menurutnya, koperasi ini mempunyai empat reban yang dikendalikan secara moden dan mampu memantau perkembangan serta pembesaran ayam sehingga di pasarkan bagi keperluan tempatan.

“Projek ini diusahakan Angkasa bersama Koperasi Keluarga Haji Yunus sebagai langkah bersepadu dalam memastikan pengeluaran ayam dan produk berkaitan dapat memenuhi permintaan pasaran yang semakin bertambah.

“Usaha ini selari saranan kerajaan supaya Angkasa mengambil inisiatif bagi menggerakkan koperasi serta mewujudkan ekosistem baru dalam industri ternakan ayam negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke ladang perintis ternakan ayam kendalian KOPYUN di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya turut membantu dan menyokong projek perintis pertama di Malaysia ini berjaya sebagai hab pengeluaran ayam segar terbesar di negara ini.

“Sebanyak 32,000 ekor anak ayam dimasukkan di ladang ternakan KOPYUN dan dalam 35 hari kita boleh lihat perkembangannya. Saya yakin projek perintis ini berjaya membekalkan ayam segar dan memenuhi permintaan pengguna, ahli koperasi dan pemain industri.

“Hasil ternakan ini dipasarkan kepada 1,200 koperasi yang mengendalikan program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) menerusi platform digital,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Angkasa mensasarkan 14,600 juta ekor ayam sebulan bagi memenuhi keperluan 7.3 juta ahli koperasi, tidak termasuk keperluan industri seperti kantin sekolah, pejabat dan lain-lain.

Tambah beliau, Angkasa memperuntukkan RM10 juta kepada koperasi untuk terlibat dalam sektor agro makanan ternakan ayam dan ruminan bagi membantu menjamin bekalan makanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya