GEORGE TOWN: Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata tegurannya berhubung ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ ikhlas demi kebaikan umat Islam dan bukannya untuk mencari populariti.
Mufti Pulau Pinang itu berkata, beliau hanya memberi pandangan peribadi berdasarkan pertimbangan menyeluruh dan bukannya sekadar ingin mencapai kepentingan segera, mengambil kira kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut rohani.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa pandangan peribadi seorang mufti tidak mengikat mana-mana individu muslim atau bukan muslim.
“Ini kerana mufti bukanlah seorang yang maksum atau terpelihara daripada kesalahan.
Pandangan mufti bukan seperti ayat al-Quran atau hadis sahih yang tidak boleh dibantah mana-mana penganut agama Islam.
Oleh itu, katanya, terserahlah kepada pihak bersangkutan dan orang ramai sama ada mahu menerima pandangan diberikan atau menolaknya.
“Saya akui bahawa ia dianjurkan dengan niat murni dan ikhlas. Tetapi isu sebenarnya yang menjadi fokus saya ialah tarikh yang tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan bulan Ramadan,” katanya di sini semalam.
SUDI
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Pihak Yayasan Nurjiwa kerana sudi memberi penjelasan yang terperinci tentang tujuan penganjuran konsert iaitu untuk mengutip dana bagi menampung beberapa kluster kerja kebajikan termasuk bantuan khas kepada rakyat Palestin.
“Saya tidak sama sekali mempertikaikan tentang niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert tersebut.
“Pada pandangan saya, mengadakan konsert pada hari-hari menghampiri bulan Ramadan adalah melalaikan umat Islam daripada menumpu perhatian kepada aspek pembangunan rohani.
Sepatutnya dalam waktu sedemikian umat Islam digalakkan untuk membuat persiapan rohani secukupnya bagi menyambut kedatangan bulan yang mulia tersebut.
“Saya menegur secara ikhlas demi kebaikan umat Islam, bukan untuk mencari populariti atau apa-apa kepentingan diri,” katanya.
Jelasnya, beliau sememangnya amat berlapang dada tentang hiburan dan aktiviti seni umumnya.
“Bagi saya agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah), asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.
“Inilah pendirian saya yang konsisten walaupun saya tahu ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hukum nyanyian dan muzik adalah haram dan berdosa.
“Sebagai hamba Allah saya dengan segala keinsafan memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana teguran saya itu dibuat secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak saya jangka sama sekali,” kata Wan Salim. – UTUSAN










