KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk bersama 10 individu lain didakwa di Mahkamah Seksyen, di sini hari ini.
Tertuduh yang dikenali sebagai Datuk Maslan Sani,41, bersama 10 individu lain didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 hingga Disember 2023 di Kota Kinabalu.
Sepuluh individu itu adalah Rahman Burijin,44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini,45; Mohd. Fauzie Rablin,33; Shahlan Shah Abdul Samad,37;Nelson Yen Yee Chung,46; Mohd.Faridzul Asmahadi,31; Fazrul Bahar,32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud,49; dan Mahathir Jabarail,49.
Berdasarkan pertuduhan, Maslan, Shahlan Shah dan Alkan masing-masing didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 hingga 24 Disember 2023.
Sementara itu, Rahman, Jaisalfian, Mazlan dan Mahathir pula didakwa atas kesalahan sama pada tempoh antara 2018 dan Disember 2023.
Bagi Mohd.Faridzul dan Fazrul pula kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama bagi tempoh 2020 hingga Disember 2023.
Dua tertuduh lagi iaitu Mohd. Fauzie dan Nelson Yee masing-masing didakwa atas kesalahan sama antara tahun 2022 hingga Disember 2023.
Kesemua 11 tertuduh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan semasa pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd. Salim.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd. Sham dan Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan.
Sebelum ini, PDRM melaporkan seorang ketua sindiket dadah bergelar Datuk bersama 10 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket dadah terbesar di Sabah.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan ketua dan anggota sindiket itu ditahan pada 25 Disember tahun lalu.
Dalam penahanan itu, polis merampas pelbagai aset antaranya 22 akaun bank dengan simpanan berjumlah RM420,000 yang telah dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 serta wang tunai RM35,000.
Polis percaya Datuk yang merupakan penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah lebih dari lapan tahun.










