PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembalikan cadangan asal akta antilompat parti berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang merangkumi ahli Parlimen yang ingkar arahan parti dan ketua whip sebagai keluar parti dan berlaku kekosongan kerusi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia lebih utama berbanding cadangan menggubal rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen meskipun dilihat baik dari aspek kestabilan politik negara.
Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, pengembalian semula cadangan asal akta itu diyakini dapat memastikan politik negara stabil sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menghabiskan penggal penuhnya.
PERLEMBAGAAN
Katanya, mekanisme penggubalan RUU penggal tetap Parlimen tidak mudah kerana menuntut pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Saya percaya, undang-undang ini (penggal tetap Parlimen) boleh membantu sedikit sebanyak kestabilan politik di Malaysia, tetapi yang pokoknya, undang-undang lompat parti perlu dilihat semula macam mana kita boleh mengembalikan cadangan asal.
“Sebab ia sudah dilaksana di negara lain, India negara demokrasi pun boleh laksana, mengapa tidak di Malaysia?
“Ada yang kata tidak perlu pinda perlembagaan (RUU penggal tetap Parlimen), buat akta sahaja. Namun, jika akta dibuat ada kemungkinan bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah.
Beliau berkata demikian dalam Program Bicara Tokoh Majlis Profesor Negara Berhubung Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Politik di Persada Ilmuwan di Pejabat Majlis Profesor Negara di Kajang semalam.
Program itu dihoskan oleh Felo Majlis Profesor Negara, Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali.
PERKETAT
Akhbar ini kelmarin melaporkan, Majlis Bekas Wakil Rakyat menyarankan supaya kerajaan memperketat akta antilompat parti berbanding mewujudkan RUU baharu berkaitan penggal tetap Parlimen.
Ia bagi mengekang sebarang cubaan menukar kerajaan walaupun akta itu sudah diwartakan.
Pada November tahun lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya undang-undang anti lompat parti dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan susulan beberapa ahli parlimennya menyokong perdana menteri namun kekal bersama parti.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Wan Junaidi berkata, tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak draf awal undang-undang anti lompat parti berhubung elemen ahli parlimen yang ingkar arahan parti dan ketua whip dianggap sebagai keluar parti dan berlaku kekosongan kerusi, dilihat ‘memakan diri’ parti itu.
Katanya, draf awal undang-undang itu mempunyai tiga elemen utama, iaitu ahli Parlimen keluar parti, ahli Parlimen dipecat daripada parti dan ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti.
Bagaimanapun, wakil PN yang menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas RUU antilompat parti menolak elemen ahli Parlimen dipecat daripada parti walaupun mendapat sokongan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN










