Industri getah negara perlu transformasi, tingkat nilai tambah

Industri getah negara perlu transformasi, tingkat nilai tambah

MANNDZRI Nasib (tengah) bersama Abdullah Zainal (empat kiri) dan kakitangan Risda selepas Majlis Amanat Pengerusi di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri getah perlu diberi nilai tambah supaya harga getah yang kini merosot boleh dilonjak kembali dengan beberapa transformasi yang mampu dilakukan.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, ia penting kerana masyarakat hari ini kurang minat dengan industri itu susulan harga getah merosot kepada RM2.80 berbanding RM7 ke RM8 yang mampu diperoleh sebelum ini.

Katanya, beberapa transformasi harus dilakukan segera, sekali gus dapat menarik kembali minat penoreh getah yang kebanyakannya kini beralih kepada tanaman sawit.

“Industri getah bukan masalah RISDA sahaja, tetapi ia juga masalah kepada negara yang perlu menentukan hala tujunya.

“Malah, industri getah ini perlu dipertahankan dan diberi nilai tambah, kita tidak lagi boleh jual getah dalam bentuk mentah, sebaliknya, kita perlu eksport dalam bentuk produk akhir.

“Teknologi ada sahaja di mana-mana. Kita perlu memanfaatkannya dan perlu berani menguruskan risiko supaya industri ini boleh terus berkembang,” katanya pada Majlis Amanat Pengerusi di Ibu Pejabat RISDA, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Manndzri berkata, industri getah pada hari ini mengalami kekangan antaranya dari segi tenaga kerja dan setakat ini lebih kurang 86 peratus hasil pengeluaran merupakan daripada peserta RISDA.

“Faktor paling besar industri ini semakin merosot adalah kerana ramai yang tidak berminat disebabkan harga getah itu menurun, mereka rasa tidak berbaloi untuk turun menoreh. Padahal, kita ada 425,000 hektar kebun getah yang sedia ada tidak ditoreh.

“Kita kurang dari segi produktiviti dan ia satu perkara yang amat merugikan. Maka sebab itu, kita wujudkan program bagi menarik minat generasi muda untuk terlibat aktif dengan aktiviti menoreh getah,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Ahmad Zainal Abdullah serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Abdul Shukor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN