PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mampu mengukuhkan kedudukannya dan mempunyai peluang yang lebih baik sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada tahun ini.
Penganalisis Politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, sekiranya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Noor menginginkan PRN diadakan lebih awal, diyakini ia adalah semata-mata untuk mengukuhkan parti beliau.
Namun, katanya, Hajiji Noor perlu mengambil langkah berwaspada dan tidak terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan penting itu.
GOYAH
“Haluan yang tidak sependapat dengan GRS dan potensi untuk Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan) bergabung mungkin boleh menggoyahkan GRS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, jika BN dan Warisan bergabung, maka kemungkinan pengundi-pengundi ‘veteran’ yang sejak sekian lama mengenali kekuatan parti BN, dijangka membuka peluang besar kepada perubahan dalam pengundian.
“Ini kerana parti GRS baru dua tahun di Sabah, manakala BN telah dikenali oleh kebanyakan pengundi di Sabah, ditambah lagi dengan Presiden Warisan, Datuk Shafie Apdal yang dulu merupakan ahli UMNO,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kenyataan Hajiji di Persidangan Agung Tahunan Parti GRS, November lalu memberi bayangan kemungkinan pilihan raya akan diawalkan.
Tempoh pemerintahan GRS sepatutnya berakhir pada Oktober 2025 namun, tidak mustahil jika PRN akan diadakan pada tahun ini.
SOKONGAN
Dalam pada itu, kata Azmi, ketiga-tiga parti (GRS, BN dan Warisan) yang akan bertanding itu memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Maka keadaan akan menyukarkan Hajiji untuk mengambil kesempatan dalam mengatakan GRS perlu diberi mandat dan mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN










