PETALING JAYA: Sudah tiba masanya ‘naratif Melayu’ digantikan kepada ‘naratif Malaysia’ untuk menyatupadu, menangani kemerosotan negara dalam suku abad terakhir dan menjadikan Malaysia sebagai negara bertaraf dunia.
Pada masa sama, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang juga menggesa supaya permainan ‘wayang kulit’ untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh mana-mana pihak dihentikan dengan segera.
Menurutnya, naratif Melayu bermula dengan tomahan bahawa DAP adalah dalang di sebalik tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom.
“Tetapi tiada pengakuan atau penyesalan walaupun dalang melemparkan dakwaan tersebut seperti Presiden Pas, (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, kini tahu bahawa tohmahan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas.
“Timbul pula dakwaan liar yang tidak masuk akal dan tidak berasas kononnya saya mempunyai kaitan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew,” katanya dalam ucapan di Bagan, Pulau Pinang, semalam.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, seperti negara lain, Malaysia perlu mencari jalan untuk mengatasi pembohongan, penipuan, berita palsu, penyelewengan maklumat masa kini jika tidak mahu berpecah, gagal serta menjadi negara kleptokrasi.
“Langkah pertama untuk kembali kepada asas penubuhan negara seperti Tunku Abdul Rahman; Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. T. Sambanthan yang menerima Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya bahkan antara terawal memperjuangkan naratif Malaysia berbanding naratif Melayu, Cina, India, Dayak mahu pun Kadazan.
“Ia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara atau Wawasan 2020 berkonsepkan Bangsa Malaysia dengan sembilan cabaran strategik,” katanya.
Bagaimanapun, Kit Siang berkata, konspirasi politik dengan berlakunya Langkah Sheraton sehingga menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan dua pertukaran Perdana Menteri, telah membawa Malaysia ke krisis lebih serius.
“Berakhirnya wayang kulit untuk menggulingkan Anwar sebagai Perdana Menteri, 12 bulan mendatang akan menjadi tempoh paling penting dalam sejarah, bagi menentukan sama ada kita boleh kembali prinsip pembangunan negara yang asal bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bersatu padu, berdaya saing, hebat dan bertaraf dunia,” katanya. – UTUSAN










