Enam individu tidak mengaku salah promosi judi ‘online’ - Utusan Malaysia

Enam individu tidak mengaku salah promosi judi ‘online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini berhubung pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian menerusi beberapa aplikasi media sosial, minggu lalu.

Tertuduh, Choo Pi Tse, 32, Ong Ji Wei, 24, Lai Ming Hao, 30, Ching Zi Wei, 32, Lye Kher Ying, 26 dan Yeap Ting Yao, 32 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Ji Wei, Ming Hao dan Zi Wei merupakan pereka grafik, Pi Tse yang sudah berkahwin pula bekerja di bahagian Sumber Manusia manakala Kher Ying dan Ting Yao sebagai staf pemasaran.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara serentak, kesemua tertuduh didakwa mempromosikan perjudian dalam talian dengan cara menggunakan aplikasi Facebook, WhatsApp dan WeChat dengan komputer riba dan satu unit telefon pintar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Pusat Perdagangan Nova, Jalan Ahmad Nor, Jelutong, di sini, kira-kira pukul 10.45 pagi, pada 16 Januari lalu.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun jika sabit bersalah.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala peguam Teh Yi Kai mewakili Pi Tse, Ji Wei, Zi Wei, Kher Ying dan Ting Yao. Hanya Ming Hao diwakili peguam Ang Xin Lin.

Dalam prosiding tersebut, Syairah sebelum itu memohon jaminan sebanyak RM9,000 ke atas setiap tertuduh bersama seorang penjamin.

Majistret Mohamad Azlan kemudiannya memerintah setiap tertuduh membayar jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Mac ini sebagai sebutan semula kes tersebut.

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua sindiket perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan kira-kira RM2.5 juta sebulan dalam dua serbuan berasingan di Queensbay di Bayan Baru dan Jelutong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya